Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini diberitahu, 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung sistem visa luar negara (VLN) yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi akan difailkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi oleh pihak pembelaan.
Peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Zahid memaklumkan demikian ketika prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
“Pihak pembelaan dan pihak pendakwaan telah berbincang dan bersetuju supaya semua dokumen berkaitan kes diserahkan oleh pendakwaan kepada kami dalam masa sebulan lagi.
“Selepas itu, kami akan failkan kes ini dan membuat permohonan supaya kes didengar di Mahkamah Tinggi di Shah Alam,” katanya.
Timbalan pendakwa raya, Gan Peng Kun pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa kerana terdapat lebih 500 dokumen sedang disediakan untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.
Rozilah kemudian menetapkan 25 Okt ini untuk pengurusan kes di mahkamah sama.
Terdahulu, Gan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi memindahkan 33 pertuduhan rasuah yang dihadapi Zahid untuk didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Pendakwaan menarik balik permohonan (memindahkan 33 pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) memandangkan semakan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bagi memindahkan tujuh lagi pertuduhan rasuah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) ditolak dan hakim memerintahkan supaya kesemua kes ini kekal untuk didengar di mahkamah ini,” katanya.