PUTRAJAYA 10 Julai – Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membeli 20 mesin pengimbas kargo.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembelian yang kini dalam proses perolehan itu adalah antara perkara yang dipersetujui dalam Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Beliau berkata, satu kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman dibincangkan dalam mesyuarat merangkumi isu Cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Status Cadangan Pengasingan Banduan Kesalahan Dadah di Jabatan Penjara Malaysia dan Projek Rintis Menangani Masalah Penagihan Dadah dan Pelencongan Sosial oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Antara perkara yang turut dipersetujui adalah, Kementerian Kesihatan sedang dalam tindakan membuat pindaan berhubung kesalahan berkaitan ketum yang dijangka akan dibentangkan dalam Parlimen akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Muhyiddin, jawatankuasa itu turut mempersetujui bahawa kesalahan-kesalahan berkaitan penagihan dadah dikeluarkan daripada didaftarkan dalam senarai pendaftaran penjenayah dan orang tidak diingini.
Pada masa sama tambahnya, cadangan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 juga dipersetujui.
Menurutnya, ini termasuk mendefinasi semula penagih dan pengguna dadah, menyemak semula kuasa-kuasa Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung pengendalian pusat pemulihan penagihan dadah persendirian (PPDP).
“Mesyuarat juga mempersetujui cadangan pewujudan kluster banduan penagih dadah ini diadakan di 14 institusi penjara dengan 19 blok penempatan.
“Ia melibatkan anggaran kapasiti sebanyak 9,500 orang banduan penagih dadah pada satu-satu masa daripada kes sabitan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan anggaran kos keseluruhan RM285 juta,” katanya.
Tambah Muhyiddin, mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu juga bersetuju dengan pelaksanaan projek rintis AADK dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelencongan sosial di 12 kawasan.
Kawasan-kawasan itu jelasnya, melibatkan:
* Kedah : Pulau Langkawi, Felda Lubuk Merbau dan Kuala Kedah
* Selangor : Flat Sri Mentari Petaling, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Felda Gugusan Hulu Selangor
* Johor :Johor Bahru melibatkan Perling, Tampoi serta Skudai dan Parit Sulong, Batu Pahat
* Kelantan : Pengkalan Chepa
* Terengganu : Kuala Dungun
* Kuala Lumpur : PPR Sungai Bonus
* Pahang : Felda Keratong 3
“Kawasan Projek rintis yang telah dikenal pasti ini melibatkan kawasan yang terletak di dalam kawasan berisiko tinggi dan sejajar dengan usaha menangani penagihan dadah dan pelencongan sosial yang dijalankan secara bersepadu.
“Projek yang dijalankan akan dijadikan model untuk diperluaskan di seluruh negara sejajar dengan matlamat Dasar Dadah Negara,” katanya.
Tambah beliau, satu jawatankuasa kerja juga akan diwujudkan untuk merangka kempen mencegah penyalahgunaan dadah yang akan diterajui oleh AADK melibatkan semua peringkat termasuk kerajaan negeri yang mana, kempen di peringkat kebangsaannya akan dilancarkan oleh Perdana Menteri.
Tegas Muhyiddin, kerajaan memandang serius berhubung isu penyalahgunaan dadah dan menyedari tentang kekangan AADK daripada segi fasiliti dan kekurangan tenaga kerja dalam memberi perkhidmatan berdasarkan nisbah bilangan pegawai antidadah berbanding klien dalam komuniti iaitu 1:200 berbanding 1:25 mengikut piawaian antarabangsa. – UTUSAN ONLINE