spot_img
spot_img

Permohonan Penangguhan Bicara Najib Razak Ditolak Mahkamah

spot_img

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) yang masuk hari ke-30 diteruskan hari ini selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk kesnya dilapangkan bagi membolehkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Terdahulu, sebaik mahkamah mula bersidang kira-kira jam 9.45 pagi, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memohon prosiding perbicaraan hari ini ditangguhkan kerana Najib perlu mengundi untuk dua Rang Undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan di Parlimen.

Muhammad Shafee berkata usul yang akan dibahaskan di Parlimen hari ini membabitkan pengisytiharan harta bagi semua ahli Parlimen dan menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

- Advertisement -

“Sesi soal jawab di Dewan Rakyat akan bermula jam 10.15 pagi dan dijangka berlarutan sehingga 5 petang dan kehadiran Najib adalah penting kerana dia terbabit dalam perkara ini ketika memegang jawatan,” katanya.

Muhammad Shafee turut memberitahu mahkamah, sepanjang sesi Parlimen yang bermula Mac lalu, Najib tidak menghadirkan diri selama 20 hari.

Beliau berkata, ini adalah sesi Parlimen yang kedua dan perkara berhubung perbahasan rang undang-undang itu hanya dimaklumkan kepada anak guamya dua hari lalu.

- Advertisement -

“Dalam kes terdahulu, membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Karpal Singh, mahkamah memberikan kebenaran penuh kepada mereka untuk menghadiri sidang Parlimen.

“Anak guam saya membuat permohonan yang munasabah memandangkan perkara kali ini memerlukan pembabitannya,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tommy Thomas, yang mengetuai pendakwaan membantah permohonan itu dengan alasan undian tidak akan dilakukan hari ini.

Thomas berkata RUU yang pertama hanya akan dibaca pada jam 5 petang dan berkemungkinan besar undian juga tidak akan dijalankan hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menolak permohonan Najib, dengan alasan

sidang Parlimen akan berjalan selama beberapa minggu dan tiada kepastian bila undian bagi kedua-dua RUU akan dijalankan.

“Dalam hal ini, perkara yang menjadi isu bukanlah mahkamah menghalang tertuduh daripada menghadiri Parlimen.

“Sebaliknya, perkara utama adalah walaupun tertuduh adalah Ahli Parlimen, beliau juga berdepan tujuh tuduhan di mahkamah ini,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan perbicaraan kes diteruskan dengan memanggil saksi pendakwaan ke-42, Bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin untuk meneruskan keterangannya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img