Setiap kali kerajaan menyuarakan hasrat untuk menghentikan pengambilan pekerja asing, pihak majikan khususnya persatuan yang mewakili sektor tertentu akan ‘melenting’, menuntut supaya pengambilan pekerja asing untuk sektor yang diwakilinya dikecualikan daripada pembekuan pengambilan pekerja asing.
Alasannya, kesukaran mendapatkan pekerja tempatan. Begitulah juga halnya dengan Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia, yang dikategorikan sebagai pekerjaan ‘3D’, kotor, sukar dan bahaya.
Kenyataan yang harus diterima oleh semua pihak, khususnya kerajaan, ialah Malaysia mengalami kekurangan tenaga pekerja, khususnya pekerja am.
Pengangguran yang ada di Malaysia ialah bagi mereka yang mempunyai kelulusan dari institusi pengajian tinggi dan penganggur terhormat; mereka yang terlalu memilih pekerjaan.
Dasar kerajaan terdahulu yang menggalakkan pelaburan dengan guna tenaga manusia yang tinggi tidak membantu menyelesaikan masalah kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.
Kerajaan sepatutnya menggalakkan pelaburan yang menggunakan teknologi tinggi dengan guna tenaga manusia yang rendah.
Penganggur berpendidikan tinggi
Data guna tenaga manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bagi suku pertama 2018, kadar pengangguran di Malaysia ialah 3.3 peratus, iaitu 510,000 penganggur.
Mengikut perangkaan 2017, hanya 28.1 peratus daripada mereka yang yang mempunyai pendidikan tinggi yang bekerja.
Seramai 71.9 peratus daripada mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi telah pun bekerja. Ini bermakna sebahagian besar penganggur ialah mereka yang mempunyai pendidikan tinggi dan sudah tentu jijik dan malu untuk bekerja sebagai pencuci.
Bagi 2015, jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan bangunan dan landskap ialah 41,862 orang. Sudah tentulah jumlah ini telah meningkat menjelang 2018, dijangka melebihi 500,000 orang selaras dengan pembangunan fizikal negara.
Di mana kontraktor pembersihan hendak mendapatkan sumber tenaga pekerja tempatan? Jumlah penganggur hanya 510,000 orang dan sebahagian besarnya ialah graduan. Inilah realiti yang perlu difikirkan oleh kerajaan.
Masalah sosial
Pada masa sama kontraktor pembersihan juga harus menerima hakikat bahawa kebanjiran pekerja asing boleh membawa kepada masalah sosial dan keselamatan negara. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan nilai ringgit jatuh apabila Ringgit Malaysia ditukar ke mata wang asing oleh pekerja untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.
Oleh itu langkah jangka panjang bagi mengelakkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing perlu difikirkan.
Desakan supaya pihak kerajaan mengecualikan sektor pembersihan daripada pembekuan pengambilan pekerja asing hanya langkah penyelesaian sementara.
Selama ini sektor pembersihan terlalu bergantung kepada tenaga manusia untuk menjalankan kerja. Memburukkan lagi keadaan, apabila sebahagian besar pelanggan lebih menekankan kepada bilangan pekerja yang dibekalkan oleh kontraktor, berbanding dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan, yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Kontraktor pembersihan ialah penyedia perkhidmatan pembersihan dan bukan pembekal tenaga kerja. Bagi mengukur kualiti kerja pembersihan yang dijalankan oleh kontraktor, Standards Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC) telah menyediakan ‘MS2550:2014 – Cleaning Performance – Commercial and Public Buildings’.
Guna teknologi
Apabila prestasi kontraktor diukur berdasarkan kualiti perkhidmatan, ia membuka ruang untuk kontraktor mengaplikasikan teknologi dan inovasi terkini yang boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga manusia.
Untuk itu kerajaan perlu menggalakkan penggunaan teknologi, seperti Kerajaan Singapura menawarkan sehingga 75 peratus pembiayaan bagi teknologi yang boleh mengurangkan penggunaan tenaga manusia.
Selain itu, kemahiran dan pengetahuan pekerja perlu dipertingkatkan supaya produktiviti dan kualiti kerja mereka meningkat.
Kaedah cucian juga perlu diubah dari mencuci mengikut kekerapan yang tetap kepada mencuci di mana dan apabila perlu saja. Misalnya, tandas yang jarang digunakan tidak perlu dicuci sehingga 3 kali sehari, sebaliknya sekali cucian mungkin sudah mencukupi, asalkan ia bersih sentiasa.
Penggunaan pekerja asing juga perlu ditumpukan kepada pekerja separuh mahir jika bukan pekerja mahir. Bagi sektor pembersihan, MACC bercadang untuk menjalin kerjasama dengan Asosiasi Perusahaan Klining Servis Indonesia (Apklindo) bagi membawa masuk pembersih (pekerja pembersih) yang telah dilatih dan mempunyai sijil kemahiran, sekiranya mendapat sokongan dan kelulusan kerajaan.
Pekerja asing yang mempunyai sijil kemahiran, contohnya Sijil Kemahiran Malaysia dalam sektor yang berkaitan, seharusnya dibenarkan bekerja di Malaysia tanpa had tempoh, kerana kemahiran mereka diperlukan.
Sudah sampai masa, khususnya bagi sektor pembersihan untuk beranjak dari terlalu bergantung kepada tenaga manusia kepada penggunaan teknologi dan inovasi.
Singapura sudah mula menggunakan robot untuk kerja cucian di lapangan terbang. Malaysia, bila lagi?