KUALA LUMPUR: Di era Malaysia Baru, pemimpin yang memegang amanah adalah yang sepatutnya meraikan rakyat, bukan sebaliknya. Itulah persepsi yang sedang diubah oleh kerajaan kini, menurut Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan. Begitu juga dengan amanah PTPTN yang dipegang beliau, di mana ‘rebranding’ PTPTN itu sedang giat dijalankan supaya lebih kuat, kukuh dan memberikan keyakinan kepada penyimpan.
“Kalau dilihat di lambang PTPTN itu sendiri, tulisan ‘tabung’ itu besar sekali. Kita inginkan rakyat ingat PTPTN sebagai perancang simpanan untuk pendidikan, bukan sebagai tempat meminjam semata-mata”, ujar beliau.
Pada hari yang sama, Wan Saiful merasmikan cabutan SSPN untuk tahun 2019. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) adalah satu-satunya pelan simpanan terbaik disediakan oleh kerajaan khusus untuk rakyat dalam usaha merancang kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi anak.
Menerusi SSPN juga, pelbagai insentif diberikan kepada pendeposit antaranya pelepasan taksiran cukai dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000, patuh syariah, perlindungan takaful selain dividen sebanyak empat peratus pada 2018 iaitu lebih tinggi berbanding institusi kewangan lain.
Wan Saiful Wan Jan berkata lagi, sejak diperkenalkan hingga Mei ini, lebih daripada 4.1 juta akaun SSPN dibuka, dengan deposit keseluruhan dianggarkan sebanyak RM4.9 bilion.
“Sambutan diterima begitu menggalakkan, sekali gus menunjukkan kesedaran ibu bapa untuk mengurangkan kebergantungan pinjaman untuk pendidikan tinggi kepada anak,” katanya.
Wan Saiful berkata, SSPN juga bukan saja menjadi pilihan individu, malah organisasi turut menjadikan SSPN sebagai hadiah berbanding memberi tunai kepada kakitangannya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
“Secara tidak langsung ia memberi motivasi kepada pekerja dan dalam masa yang sama pekerja turut mendapat manfaat yang disediakan SSPN.
“Bahkan cabutan hadiah juga disediakan sebagai menghargai pendeposit selain bertujuan menarik minat masyarakat menabung serta merebut peluang,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai SSPN boleh layari www.lovesspn.com.