spot_img
spot_img

DPLB 2030 : Sebuah Jaminan Penduduk Luar Bandar

spot_img

PUTRAJAYA: Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang dilancarkan hari ini menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan tiga prinsip utama.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata tiga prinsip itu ialah kemapanan, inklusif dan holistik yang setiap satunya merangkumi asas kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dan pelbagai dimensi.

Katanya, penggubalan DPLB dibuat dengan merujuk kepada dasar semasa termasuk Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 dan Agenda Matlamat Pembangunan Mapan 2030.

- Advertisement -

“DPLB digubal meliputi dua rancangan lima tahun negara iaitu RMK12 (2021-2025) dan RMK13 (2026-2030),” katanya pada Majlis Pelancaran DPLB 2030 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Rina berkata, tiga prinsip utama DPLB sangat penting bagi merangka kesinambungan pembangunan masyarakat luar b andar sejahtera, inklusif dan mapan, selain menjadikan luar bandar menarik dan kondusif sebagai tempat tinggal, bekerja dan pelaburan.

“Selain itu, meningkatkan pembabitan aktif masyarakat luar bandar dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan persekitaran global yang semakin mencabar, di samping merapatkan jurang ketidakseimbangan pembangunan penduduk bandar, luar bandar dan wilayah,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata, ketika penggubalan dasar itu, beberapa cabaran besar yang dijangka dihadapi masyarakat luar bandar telah diambil kira, sejajar perubahan semasa.

“Antaranya ialah peningkatan penggunaan teknologi digital, perkembangan terhadap sistem e-dagang serta penggunaan teknik dan teknologi baharu dalam sektor pertanian serta perniagaan.

“Selain itu, perkembangan terhadap IR 4.0 dijangka turut memberi implikasi terhadap landskap pembangunan negara dan ekonomi digital termasuk di luar bandar.

“Menjelang 2030, 99 peratus penduduk luar bandar akan menikmati bekalan air terawat dan bekalan elektrik. Saya juga mengimpikan usahawan desa akan terus melihat komputer atau telefon pintar sebaik bangun tidur untuk melihat pesanan pelanggan dan pengurusan stok barangan,” katanya.

Rina berkata, DPLB menggariskan 10 teras, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan hingga 2030.

Katanya, 10 teras itu ialah ekonomi berdaya saing dan mapan, keusahawanan pemacu pembangunan ekonomi, modal insan berkualiti, prasarana lengkap dan canggih, keunggulan generasi belia luar bandar serta wanita luar bandar yang progresif.

Teras lain, katanya, ialah kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus berkesan, biodiversiti dan alam sekitar mapan serta perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa bersepadu.

“DPLB akan terus menggunapakai visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ yang telah saya ilhamkan sejak setahun lalu tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama, status sosial, gender dan umur,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya merancang mengadakan sesi sebar luas DPLB kepada pelaksana yang terbabit dalam pembangunan luar bandar bagi memberi kefahaman kepada pihak berkaitan.

“Kementerian berharap DPLB menjadi rujukan utama penggubalan dasar dan program pembangunan negara menjelang 2030. Saya yakin kementerian, jabatan atau kerajaan negeri yang membangunkan dasar baharu akan merujuk DPLB bagi perkara berkaitan luar bandar supaya ia selaras dan konsisten,” katanya.

Matlamat utama DPLB ialah mewujudkan kawasan luar bandar yang menarik dan kondusif sebagai tempat tinggal, bekerja dan pelaburan. Dasar ini juga menyasarkan pengecilan jurang ketidakseimbangan pembangunan antara penduduk bandar, luar bandar dan wilayah.

Mengikut buku DPLB, dasar berkenaan menyatakan visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk sosial, ekonomi, budaya dan persekitaran.

Selain itu, nikmat pembangunan juga diharapkan akan dikongsi bersama tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, status sosial, jantina dan umur.

“Visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ juga menyasarkan pembangunan mapan yang akan memastikan pembangunan berimbang dan saling melengkapi antara aspek sosial, ekonomi dan alam semulajadi,” kata kementerian itu.

Ini seterusnya akan dapat mencapai misi DPLB untuk menerajui pembangunan luar bandar.

Beberapa program ke arah mencapai visi Luar Bandar Sejahtera telah dimulakan antaranya Program Desa Harapan, iaitu kerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan sesebuah kampung dari aspek ekonomi, keusahawanan, modal insan dan alam sekitar.

DPLB menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah mendukung Malaysia menjadi negara maju menjelang 2025 dan berpendapatan tinggi.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img