PUTRAJAYA – Kerajaan telah berjaya mengawal serta mengurangkan hutang dan liabiliti secara keseluruhan kepada 75.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu daripada 79.3 peratus pada 2017.
Walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 mata peratusan disebabkan oleh rasionalisasi ke atas kos projek-projek mega serta pembayaran kerjasama awam swasta (PPP).
“Hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan dianggarkan akan meningkat lebih tinggi berbanding sekarang sekiranya pentadbiran semasa tidak melakukan usaha rasionalisasi terhadap kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa 2 (MRT2), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan projek-projek mega yang lain.
“Sebagai contoh, kos LRT3 yang sebahagian besar akan ditanggung dan dibayar oleh kerajaan melalui jaminan kerajaan, telah dipotong 47 peratus atau RM15.02 bilion berbanding kos asal,” katanya dalam satu jenyataan di sini hari ini.
Menurut Guan Eng, kerajaan juga telah mendapatkan penjimatan RM8.8 bilion bagi projek MRT2 manakala 121 projek infrastruktur kecil di seluruh negara secara kolektif bernilai RM13.9 bilion telah mendapat penjimatan RM806 juta.
Kos projek ECRL pula tambahnya, telah diturunkan kepada RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion iaitu penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.
Beliau berkata, satu lagi contoh rasionalisasi adalah pembatalan dua projek saluran paip kelolaan Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) di mana 88 peratus daripada kos RM9.4 bilion telah pun dibayar walaupun kemajuan kerja bagi projek tersebut adalah hanya 13 peratus.
Jelas Guan Eng, hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan terdiri daripada hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibayar oleh kerajaan serta pembayaran pajakan untuk pelbagai projek PPP dan liabiliti jangka masa panjang.
“Penurunan keseluruhan daripada segi KDNK berlaku walaupun hutang langsung kerajaan dan jaminan kerajaan yang dibayar kerajaan meningkat,” katanya.
Menurut Guan Eng, hutang langsung kerajaan meningkat 1.1 mata peratusan kepada 51.2 peratus berbanding KDNK tahun lalu daripada 50.1 peratus pada 2017.
Kenaikan itu jelasnya, adalah bagi membiayai defisit fiskal tahunan yang wujud seperti yang menjadi amalan tahunan sejak pentadbiran yang terdahulu.
“Jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibayar oleh Kerajaan meningkat 1.8 mata peratusan kepada 9.2 peratus berbanding KDNK pada tahun lalu daripada 7.4 peratus pada 2017.
“Peningkatan ini adalah disebabkan oleh penerusan pembiayaan projek infrastruktur yang sedia ada. Projek-projek tersebut bukanlah projek baharu dan antaranya adalah Transit Aliran Massa (MRT), Lebuhraya Pan-Borneo dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dimulakan oleh pentadbiran lama,” katanya.