spot_img
spot_img

Siri 2 : 5G di Malaysia

spot_img

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) baru sahaja memperkenalkan program perlaksanaan 5G di Malaysia. Ia menampilkan pelan jangka masa panjang dalam merancakkan lagi sistem perhubungan dan teknologi di negara ini. 5G bukan sahaja membawa penambahbaikan dari segi kelajuan, tetapi turut ingin membangunkan sektor dan penggunaan baru yang tidak terjangka pada saat ini.

Kerajaan bersama sejumlah sektor awam dan swasta telah berganding bahu untuk memperluaskan teknologi rangkaian 5G di negara ini. Mereka mensasarkan 5G bakal dapat dinikmati dalam tempoh tiga tahun lagi, setelah peranti dan infrastruktur 5G ini sudah tersedia kepada pengguna. Namun perlaksanaan ini mempunyai beberapa perkara menarik, yang mana kami akan menerangkannya di dalam artikel ini.

Pengenalan

5G (atau 5th generation) merupakan terma yang sering digunakan untuk merangkakan generasi bagi teknologi rangkaian terkini. Untuk sambungan mudah-alih, standard yang dipilih untuk 5G ini dikenali sebagai NR yang bermaksud “New Radio”. Jika sekarang kita ada Long Term Evolution “LTE” sebagai standard rangkaian untuk 4G, akan datang kita ada NR untuk rangkaian 5G ini.

- Advertisement -

Untuk memudahkan anda memahaminya, ini adalah antara standard rangkaian digital yang digunakan pada setiap generasi.

  • 2G – GSM
  • 2.5G – GPRS
  • 2.75G – EDGE
  • 3G – UMTS
  • 3.5G – High Speed Packet Access (HSPA)
  • 3.75G – HSPA+ (H+)
  • 4G – Long Term Evolution (LTE), LTE-Advanced
  • 4.5G – LTE Advanced Pro
  • 5G – New Radio (NR)

5G diwujudkan untuk mengurangkan segala isu dan halangan yang berlaku pada rangkaian 4G sedia ada. Walaupun 4G mempunyai kadar kelajuan yang memadai, ia masih belum cukup untuk memenuhi permintaan teknologi baru. Seperti contoh, teknologi panggilan hologram memerlukan kualiti imej bersaiz gigabait yang terperinci, sekaligus memerlukan kadar kelajuan yang tinggi. 4G juga mempunyai latensi yang sangat tinggi, sekaligus memberi kadar sela masa yang ketara apabila membuat kawalan di antara peranti.

Manfaat

5G NR disasarkan untuk membawa kelajuan seumpama fiber yang mana boleh dinikmati secara mudah-alih. Angka spesifik untuk kelajuan sebenar 5G masih belum diputuskan, tetapi apa yang pasti, ia akan membawa peningkatan kelajuan yang drastik berbanding teknologi hari ini. Melalui percubaan yang dibuat oleh sejumlah telko tempatan, 5G mampu mencapai kelajuan melebihi 1 Gbps, berbanding kelajuan purata 4G yang mampu mencapai sekitar 100 Mbps.

UMobile 5G
- Advertisement -

Dengan kelajuan yang tinggi, pengguna dapat menikmati kadar muat-turun yang sangat pantas – terutama melibatkan fail yang besar. Anda boleh menonton kandungan HDR dalam format definisi tinggi secara lancar walaupun anda menikmatinya melalui kaedah penstriman. Begitu juga dengan permainan, pengguna dapat memuat-turun permainan yang mencecah saiz sebesar gigabait dalam masa hanya beberapa saat sahaja.

5G juga ingin membawa kadar latensi yang lebih rendah untuk kegunaan dan interaksi masa-nyata. Dengan kadar latensi yang rendah, ia akan mengurangkan isu sela masa ketika penyambungan antara peranti. 5G dikatakan akan membawa kadar latensi maksimum 4ms, berbanding 20ms pada rangkaian berasaskan 4G.

Dengan penggunaan latensi yang rendah, 5G dapat memungkinkan beberapa perkara yang tidak dapat dicapai pada 4G. Antaranya pembedahan jarak jauh yang membolehkan doktor mengawal alat perubatan secara terperinci walaupun pesakit berada di lokasi yang berbeza. Ia juga membolehkan kereta swapandu dapat diwujudkan, kerana ia dapat mengikuti input yang lebih tepat daripada sistem berasaskan awan.

Perlaksanaan

5G di Malaysia tidak akan hadir secara komersial dalam masa terdekat ini, namun SKMM mensasarkan ia dapat dinikmati oleh pengguna bermula 2021.

Antara golongan terawal yang bakal menggunakan 5G ini adalah golongan yang berkemampuan dan penggemar teknologi. 5G boleh dikatakan sebagai satu pilihan buat masa ini, kerana pengguna belum dihidangkan dengan aplikasi yang unik untuk 5G. Melainkan pada akan datang, ada sebuah aplikasi yang memerlukan kelajuan dan latensi 5G, barulah ia dijadikan sebagai satu keperluan.

Pada saat ini, aplikasi dan penggunaan sedia ada masih boleh dijalankan pada rangkaian 4G. Perkhidmatan permesejan, pelayaran web, penstriman video, dan memainkan permainan video mudah-alih masih dapat digalas oleh 4G dengan baik. Kelajuan 4G kebiasaannya memberi kelajuan sekitar 10-40 Mbps pada saat ini – suatu kelajuan yang sangat memadai untuk kemua aplikasi ini.

Samsung Galaxy S10

Perlaksanaan atau roll-out 5G ini sebenarnya boleh dilihat sewaktu 4G ketika ia dilancarkan. Perlaksanaannya akan bergerak pantas sekiranya pengguna sudah dihidangkan dengan lambakan peranti yang menyokong sesuatu rangkaian ini.

Walaupun 4G telah mula digunakan pada tahun 2008, Apple hanya melancarkan telefon 4G pertama mereka pada tahun 2012 – menerusi iPhone 5. Dengan pengaruh jenama yang besar, sudah pasti ramai akan membeli telefon ini, sekaligus menambah bilangan penggunaan peranti yang menyokong 4G.

Dengan kesediaan peranti yang besar, telko akan mengambil peluang ini untuk menyediakan rangkaian 4G.

Begitu juga dengan 5G, walaupun rangkaian ini sudah boleh digunakan bermula akhir 2018 pada pasaran antarabangsa, telefon dan peranti yang menyokong 5G perlu diperbanyakkan dalam membantu pertumbuhan 5G.

Bilakah 5G Sedia Digunakan?

Kesemua telko di Malaysia sudah pun menunjukkan minat dalam membawa 5G kepada pengguna, melalui pra-tonton kelajuan 5G yang diperlihatkan pada awal bulan ini. Mengikut tempoh masa yang dikeluarkan oleh SKMM, telko seperti Maxis, Celcom, DiGi, TM, dan U Mobile akan mula menawarkan perkhidmatan 5G pada sekitar 2021.

Dari segi penawaran peranti, iPhone pertama yang akan menyokong 5G hanya juga akan hadir pada sekitar 2021. Qualcomm baru sahaja bersetuju untuk membangunkan modem 5G pada iPhone baru, setelah mengalami krisis dalaman antara kedua-dua pihak.

Apple iPhone XI

Namun untuk peranti Android, sejumlah peranti dengan 5G telah pun diumumkan akan hadir pada tahun ini. Antara peranti yang bakal menyokong 5G ialah Huawei Mate X dan Samsung Galaxy S10 5G. Peranti lain juga hadir di dalam bentuk variasi 5G kepada model peranti asal, seperti Huawei Mate 20 X 5G dan Xiaomi Mi MIX 3 5G.

Jadi, untuk telefon dalam dua hingga tiga tahun awal ini, anda akan melihat pengeluar akan menawarkan dua variasi model iaitu model dengan 4G dan model dengan 5G. Perkara ini turut sama dilihat pada sekitar 2011 hingga 2013, yang mana pengeluar menawarkan dua variasi, iaitu 3G dan 4G untuk satu model telefon yang sama.

Setakat ini, peranti Xiaomi Mi MIX 3 5G antara peranti yang paling murah untuk menikmati sokongan 5G ini. Xiaomi Mi MIX 3 5G dijual pada harga €599 atau sekitar RM2790. Peranti ini membawakan spesifikasi seumpama Mi MIX 3 asal, namun dijana dengan cip Qualcomm Snapdragon 855, modem Snapdragon X50, dan kapasiti bateri 3800 mAh.

Pada tahun mendatang, peranti 5G akan giat dibangunkan kepada lebih lagi banyak jenis peranti. Ia tidak hanya akan ditawarkan pada peranti berkuasa sahaja, tetapi akan turut digunakan pada peranti mampu-milik. Namun penggunaan peranti berkuasa seperti iPhone dan peranti berkuasa Android perlu digunakan secara meluas supaya dapat merancakkan lagi pertumbuhan 5G ini. Semakin ramai pengguna, semakin tinggi sesuatu kawasan akan dibangunkan dengan infrastruktur 5G.

–AMANZ

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img