BUAT pertama kali dalam sejarah penganjurannya, gelaran Dewi Remaja 2018/2019 yang dimahkotakan kepada Haneesya Hanee, ditarik balik.
Ia adalah susulan tersebarnya sebuah video yang memaparkan beberapa peserta di sebuah kelab malam dan memegang gelas minuman keras.
Penarikan balik gelaran itu dibuat dalam satu sidang media oleh pemilik jenama Dewi Remaja, Nu Ideaktiv bersama majalah Remaja, yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, pada Khamis.
Turut dijalankan adalah penyerahan semula mahkota, trofi dan replika cek yang menjadi hadiah kemenangan.
“Demi menjaga kredibiliti Dewi Remaja, kami memutuskan untuk tidak menobatkan mana-mana peserta sebagai pemenang, dan pemenang tempat kedua dan ketiga kekal dengan gelaran masing-masing.
“Kami memuji keberanian Haneesya tampil secara profesional untuk memperbetulkan keadaan. Kami akan sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan selepas,” kata Editor majalah Remaja, Faiz Aimman.
Sementara itu, Haneesya memohon maaf dan menerima penarikan balik gelaran itu dengan hati terbuka.
“Memang saya yang bersalah. Tindakan mereka menarik balik gelaran itu sesuatu yang wajar dan saya terima dengan hati yang terbuka,” kata Haneesya.