PUTRAJAYA: Kini Wilayah Persekutuan Putrajaya lebih berseri dengan wujudnya satu lagi mercu tanda baharu, iaitu arca “Putrajaya.”
Lebih menarik, majlis pelancaran mercu itu disempurnakan sendiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai tarikan baharu ke pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.
Majlis perasmian ringkas ‘landmark’ Putrajaya yang dibina di Dataran Putra, Presint 1, sepertimana arca-arca tulisan popular lain di luar negara itu, turut dihadiri Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Menurut kenyataan PPj, arca berketinggian 2.4 meter (lapan kaki) yang dikukuhkan dengan asas tapak huruf berkelebaran 1.5 meter (lima kaki) dengan panjang keseluruhan huruf sepanjang 22 meter (66 kaki) itu dibina daripada ‘stainless steel’ supaya tahan lasak.
Dengan latar belakang Bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, arca yang direka bentuk dengan imej abstrak berwarna warni itu menampilkan keunikan paparan imej grafik yang boleh di tukar ganti.
Sementara itu, Aminuddin berkata, pembinaan arca hasil inspirasi pegawai-pegawai muda PPj itu menjadi manifestasi keutuhan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sejak dibangunkan pada 1995.