PENYANYI rap, penulis lagu dan produser, Altimet menyimpan hasrat untuk kembali mengaji Al-Quran selepas bersara dari bidang nyanyian.
Altimet menyatakan keazamannya untuk membetulkan semula cara bacaan dan kesalahan lain ketika membaca kita suci itu.
“Antara perancangan saya selepas bersara dalam bidang nyayian ini adalah untuk belajar semula mengaji Al-Quran.
“Dengan berbuat demikian, saya dapat membetulkan kesalahan dan cara bacaan agar saya dapat membacanya dengan baik,” kata Altimet memetik laporan portal Gempak.
Sebagai persediaan awal juga, Altimet juga telah melabur dalam sebuah applikasi bacaan Al-Quran iatu Recite yang membolehkan pengguna berinteraksi bersama tenaga pengajar.
“Applikasi ini sudah boleh didapati di Malaysia, ia memudahkan pengguna untuk belajar mengaji di mana mereka harus merakam bacaan mereka dan ia akan didengar oleh ustaz dan ustazah yang berkhidmat, segala kesalahan akan dibetulkan oleh mereka,” ujar Altimet yang cukup popular dengan lagu Kalau Aku Kaya.
Altimet berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Konsert The Last Altimet Show bertempat di 3 Damansara, Petaling Jaya pada Rabu.
Konsert tersebut akan berlangsung pada 16 Februari 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.
Konsert itu bakal menyaksikan persembahan terakhir Altimet sebagai seorang penyanyi.
Bagaimanapun, Altimet akan terus melakukan kerja-kerja seni terutamanya belakang tabir selain terlibat dalam bidang yang bukan nyanyian.