LOS ANGELES: Aktor Idris Elba, 46 yang disebut-sebut sebagai bakal membawakan watak ejen 007 James Bond, diumumkan sebagai lelaki paling seksi di dunia tahun ini oleh majalah People.
Artis kelahiran London itu mengakui pada mulanya tidak percaya dengan pengumuman majalah itu.
“Saya tersentak. Biar betul? Tapi jujurnya ia adalah kejutan yang cukup menyenangkan,” kata Elba kepada majalah hiburan itu.
Cukup dihormati sebagai antara pelakon terbaik Britain, Elba pernah memenangi anugerah Golden Globe untuk watak detektif dalam siri ‘Luther’ terbitan BBC, memegang watak Norse dalam filem Thor dan turut membarisi siri TV terbitan Amerika Syarikat berjudul ‘The Wire’.
Sejak diperkenalkan pada 1985, hanya dua artis bukan kulit putih pernah merangkul gelaran itu iaitu bintang Afrika-Amerika Denzel Washington pada 1996 dan Dwayne ‘The Rock’ Johnson, pada 2016.
Selain Elba gelaran itu pernah diberikan kepada Blake Shelton, Brad Pitt, George Clooney, Johnny Depp, Harrison Ford, Ryan Reynolds, Chris Hemsworth, Adam Levine, Channing Tatum dan David Beckham.
–REUTERS