KOTA KINABALU: Hairri Rainin, 34, malim Gunung Kinabalu yang melalui detik cemas tragedi gempa bumi di Sabah pada 5 Jun 2015, mengakui menangis apabila menonton filem Tangisan Akinabalu yang mula ditayangkan di seluruh negara mulai semalam.
Hairiri berkata, filem arahan Datuk Jurey Latiff Rosli itu 80 peratus mengisahkan mengenai dirinya ketika tragedi berkenaan yang mengorbankan 18 nyawa termasuk tiga malim gunung.
“Perasaan bercampur-baur menonton filem ini dan menangis kerana terkenang kejadian yang meragut nyawa malim gunung termasuk seorang daripada mereka adalah rakan baik saya.
“Saya sangat terharu, teruja dan sedih pun ada… macam teringat kembali masa (gempa) yang berlaku iaitu kira-kira tiga tahun lalu dan ada kawan (malim gunung) yang terkorban iaitu salah seorang daripada mereka kawan rapat saya, Robbi Sapinggi.
“Filem ini memang terbaik dan saya kongsi cerita ini kepada pengarah untuk dibuat filem,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem itu yang dilancarkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi di sini, malam tadi.
Mengimbas kembali tragedi itu, Hairri berkata, dia antara malim gunung yang berada di puncak Gunung Kinabalu dengan membawa seorang pendaki dari Turki.
“Saya bawa pendaki wanita dan ketika kejadian saya berada di (kilometer) 6.3 di mana 14 orang terkena batu iaitu semuanya kanak-kanak dari Singapura dan guru mereka.
“Pendaki di bawah jagaan saya selamat ketika itu namun dia patah kaki dan saya angkat dia dari tempat kejadian kira-kira 300 meter ke Laban Rata sebelum diselamatkan dan dibawa turun ke Timpohon Gate.
“Ketika itu, saya juga cedera di bahagian lutut kerana terjun kira-kira dua meter,” katanya yang sudah enam tahun menjadi malim gunung.
Seorang lagi malim gunung, Norsymlie Nurusin, 23, berkata penerbitan filem itu adalah sebagai menghargai malim gunung dan orang ramai perlu menontonnya kerana ia menceritakan bagaimana mereka bertanggungjawab menjaga pendaki.
“Mungkin sesetengah orang memandang rendah pada kerjaya malim gunung kerana mereka tidak memahami sepenuhnya apa tanggungjawab kami. Jadi dengan menonton filem ini, mereka akan lebih faham dan tahu bagaimana senario yang berlaku di gunung (ketika gempa bumi),” katanya.
Norsymlie berkata, ketika tragedi lebih tiga tahun lalu itu dia berada di Mesilau Resort menyediakan sarapan untuk pendaki sebelum dikejutkan dengan gegaran dan pendaki yang sepatutnya mula mendaki tidak dapat meneruskan hasrat mereka.