KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Wahid Omar sedang berunding mengenai terma untuk menamatkan perkhidmatan dan dijangka meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) seawal Julai ini, menurut Bloomberg.
Bloomberg memetik satu laporan mengatakan bahawa, Abdul Wahid juga djangka meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby Property Bhd.
Menurut laporan itu, Abdul Wahid ketika ditemui baru-baru ini enggan memberi komen mengenai perancangannya di kedua-dua syarikat terbabit.
Abdul Wahid dilantik sebagai Pengerusi PNB selepas menamatkan tempohnya sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.
Sebelum pelantikan beliau ke Kabinet, Abdul Wahid adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malayan Banking Bhd (Maybank), kumpulan perbankan terbesar Malaysia dan satu daripada kumpulan perbankan terkemuka di Asia Tenggara, dari Mei 2008 hingga Jun 2013.
Maybank adalah organisasi utama ketiga yang dipimpinnya sebagai CEO. Sebelum menyertai Maybank, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd dari Julai 2004 sehingga pengasingannya dengan Axiata Group Bhd.
Spekulasi Abdul Wahid bakal meninggalkan PNB tercetus sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
Dua hari sebelum PRU-14, beliau telah mengeluarkan kenyataan mengenai mengapa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) harus dikekalkan dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah bersifat regresif.