Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching melabel Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seorang hipokrit susulan pengumumanya yang memperuntukkan RM5 juta kepada sebuah yayasan di bawah SPRM.
Ini kerana, katanya, kerajaan pada awal tahun ini telah mememotong bajet SPRM sebanyak hampir RM5 juta.
“Sekiranya Najib benar-benar menghargai usaha SPRM, kenapa beliau memotong belanjawan SPRM hampir RM5 juta pada awal tahun ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk jawapan bertulis parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low dalam jawapannya kepada soalan ahli parlimen Kulim Bandar Baru Umno Datuk Seri Abd Aziz Sheikh Fadzir yang menyoal mengenai bajet SPRM.
Dalam jawapannya, Low, mendedahkan bahawa bajet SPRM adalah RM10,218,830 tahun lalu dan ini dikurangkan kepada RM5,455,300 tahun ini.
Teo mempersoalkan sama ada, adalah kebetulan bahawa Najib mengumumkan peruntukan hampir serupa dengan jumlah pemotongan bajet itu.
“Kalau saya pegawai SPRM, saya lebih suka jika jumlah sama diberikan pada awal tahun ini, jadi SPRM tidak akan dalam kedudukan janggal sama ada beretika untuk menerima wang itu,” katanya.
Malah, katanya, jika Najib benar-benar menghargai usaha SPRM, beliau akan membenarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad untuk mengambil lebih banyak kakitangan untuk meningkatkan keberkesanan mereka.
Katanya, tenaga kerja SPRM seharusnya adalah 5,000 anggota, berbanding jumlah sekarang pada sekitar 2,100 orang.
“Najib dalam ucapannya menyebut bahawa kerajaan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada perjuangan SPRM.
“Jadi, mari kita mulakan dengan menambah bilangan pegawai untuk menyiasat SRC International Bhd,” katanya.