PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho mengakui pernah timbul rasa ragu-ragu adakah Romelu Lukaku akan menjadi penjaring gol sebelum sepak mula bertemu Crystal Palace kelmarin.
Bagaimanapun, penyerang kelahiran Belgium itu berjaya menepis keraguan Mourinho dengan meledak gol ketujuhnya daripada tujuh perlawanan bersama United sekali gus menyamai rekod legenda kelab itu, Andy Cole.
Bagi Mourinho, kejayaan ini adalah sesuatu yang besar untuk pemain muda seperti Lukaku dan mengharapkan penyerang itu akan terus bersinar bersama The Red Devils, musim ini.
“Entah bagaimana saya boleh terfikir dia (Lukaku) mungkin tidak akan menjaringkan gol dalam perlawanan dengan Palace.
“Tapi dia telah membalas keraguan saya dengan menjaringkan satu gol dan ini menunjukkan dia benar-benar ada kualiti sebagai penyerang terbaik di Liga Perdana Inggeris.
“Dengan jaringan itu juga dia telah menyamai rekod legenda di kelab ini. Saya amat bangga dengan pencapaiannya,” kata Mourinho.
Lukaku kini mendahului senarai penjaring terbanyak EPL, mengetepikan Sergio Aguero, Alvaro Morata dan Harry Kane yang menjaringkan enam gol setakat ini.