Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain memfailkan usul permohonan untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung saman misfeasans atas dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran tugas fidusiari dalam jawatan awam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1MDB.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam mengketepikan saman yang difailkan oleh Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin, berdasarkan alasan bahawa Najib bukan penjawat awam.
Dalam usul itu, mana empat soalan undang-undang ditimbulkan dan ini difailkan oleh firma undang-undang Haniff Khatri Abdulla dengan pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.
Mahathir, Khairuddin dan Anina memfailkan saman RM2.6 bilion di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 23 Mac tahun lalu dengan menamakan Najib sebagai defendan tunggal.
Mereka antara lain, mahu Najib membayar balik RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadinya dan tambahan RM42 juta yang dikatakan adalah daripada dana SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.
Pada 30 Ogos, Mahkamah Rayuan menolak rayuan ketiga-tiga mereka dengan Hakim Tan Sri Idrus Harun, yang dahulu adalah Peguam Cara Negara, memutuskan bahawa mereka bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bukan penjawat awam.