PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais mengakui kesilapan pertahanan menjadi punca mereka tewas mengejut kepada Felda United 2-3 di Stadium Shah Alam, malam semalam.
Menurutnya, beliau percaya JDT mampu bangkit dalam perlawanan tersebut dan mencipta kemenangan, tetapi dua kesilapan mudah pertahanan yang menghadiahkan dua gol kepada Felda membantutkan segalanya.
Gol pertama Felda berpunca daripada kesilapan pertahanannya Junior Eldstal yang menolak bola lemah ke belakang pantas dirampas Thiago Augusto untuk gol pertama The Fighters.
Walaupun bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan, kesilapan sekali lagi di benteng pertahanan kali ini berpunca daripada Afiq Fazail memberikan gol ketiga dan juga gol kemenangan buat Felda yang turut dijaringkan oleh Thiago.
“Kami bermula baik dan mencipta banyak peluang, tetapi kesilapan individu menghukum kami. Kami beraksi baik untuk menyamakan kedudukan dua kali selepas ketinggalan.
“Kami menjangkakan untuk kembali bangkit mencari gol kemenangan pada separuh masa kedua, tetapi ia menjadi semakin sukar apabila Eldstal dibuang padang dan kesilapan kedua dilakukan di benteng pertahanan oleh pemain.
“Bagaimanapun, ia permainan yang baik dan kami terima kekalahan ini,” katanya.
Jelas Morais, tumpuan kini lebih terarah kepada persediaan bertemu Perak dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia.
“Kami mempunyai 15 hari untuk melakukan persediaan dan ia tempoh yang cukup untuk merehatkan pemain sebelum aksi separuh akhir,” katanya.