Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini mengemukakan bukti dan dalil bagi menyokong tindakan seorang pengusaha sebuah kedai dobi di Muar, Johor yang membuka perniagaannya hanya kepada umat Islam sahaja.
Sambil menegaskan tindakan itu demi menjaga kebersihan dan kesucian, portal Ismaweb.net memaprkan dua keping gambar yang dikatakan ada asas kukuh di sebalik kebimbangan umat Islam.
Gambar itu memaparkan seorang lelaki membawa anjingnya masuk ke dalam sebuah kedai dobi yang tidak dinyatakan lokasi, tarikh dan masa ia dirakamnkan. Lelaki yang tidak dinamakan itu mendukung anjingnya sambil memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh.
Sementara menunggu pakaiannya dibasuh, lelaki itu meletakkan anjingnya di atas kerusi untuk pelanggan kedai dobi berkenaan.
“Buka kedai khas untuk umat Islam salah. Bawa anjing atau babi yang menjadi najis berat buat Islam ke dalam kedai dobi tak salah?” soal ‘Kata Perdang’ dalam satu artikelnya.
Artikel itu juga menyelar kegagalan kerajaan dan kabinet yang tidak membincangkan isu berkenaan pada mesyuarat mingguannya.
“Kabinet tak nak bincangkah isu bawa masuk anjing dalam kedai dobi? Tak nak!
“Tak bincang sebab ia kes terpencil. Tapi jika orang Islam yang buat demi Islam, bukan kes terpencil. Ia masalah negara, kena bincang dalam kabinet.
“Takut jadi ekstremis, takut jadi Taliban, takut jadi Daesh. Kena bincang isu kedai dobi ini. Maka jadilah kabinet kedai dobi,” katanya.
Ismaweb.net, juga menimbulkan persoalan selepas gambar berkenaan menjadi tular – adakah kedai berkenaan perlu disamak atau disertu?
Sejak minggu lalu, gambar kedai dobi di Johor itu tersebar di media sosial apabila dilaporkan hanya pelanggan Islam sahaja dibenarkan menggunakan mesin pencuci pakaian di premis itu.
Dasar itu sebelum ini disambut baik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang berkata ia tidak sepatutnya menimbulkan tanggapan buruk di kalangan orang bukan Islam.
Namun ini dibantah oleh Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkannya sebagai amalan sempit dan hukum fikah sepatutnya memudahkan kehidupan umat Islam, bukan membebankan.
Bagaimanapun selepas ditegur oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang bertitah agar konsep perniagaan itu diubah atau baginda sendiri akan bertindak, pengusaha terbabit bertindak memohon maaf dan dilaporkan telah menurunkan papan tanda ‘Mesra Muslim’ di premisnya.