PETRA JAYA: Kedudukan Sarawak masih belum selamat meskipun merekodkan kemenangan bergaya 4-2 ketika melayan kunjungan Kedah di Kuching, malam tadi.
Bagi Ketua Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala, masih banyak perkara perlu diperbaiki sebagai persiapan mengharungi perlawanan terakhir liga bertemu T-Team – yang bakal menentukan pasukan mana tersingkir ke Liga Perdana musim 2018.
Katanya, selepas berjaya keluar daripada zon penyingkiran dengan menghuni tangga ke-10 Liga Super, ia bukanlah situasi selesa bagi Sarawak, namun misi memburu mata penuh di laman sendiri sudah tercapai.
Ketika ini, Sarawak berada di tangga ketiga terbawah dengan 20 mata, manakala T-Team di tangga kesembilan dengan 22 mata.
Kedua-dua pasukan perlu menang dalam aksi terakhir dan jika seri, T-Team sah akan kekal di Liga Super dengan 23 mata manakala Sarawak akan bergantung kepada keputusan pertembungan Kelantan (19 mata) bertemu Melaka United.
T-TEAM yang mengumpul 22 mata akan bertemu Sarawak dalam perlawanan terakhir liga yang bakal menentukan pasukan mana tersingkir ke Liga Perdana musim 2018. – Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Pengiran Bala nyata berpuas hati dengan kejayaan meraih tiga mata di laman sendiri dan berharap pemainnya dapat mengekalkan momentum berkenaan sebagai bekalan menghadapi aksi terakhir pada 28 Oktober ini.
“Pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun pada mulanya kita ketinggalan kepada pelawat.
“Tetapi kita bangkit pada babak kedua, malah karektor pemain sememangnya berbeza,” katanya Pengiran Bala, ketika ditemui selepas tamat perlawanan, malam tadi.
Menyedari Kedah adalah pasukan yang kuat dan berpengalaman, beliau berkata, skuad Bujang Senang tetap mempamerkan semangat melawan tinggi sehingga mampu melakar kejutan.
Pengiran Bala mengakui, aksi babak pertama menyaksikan benteng pertahanan Bujang Senang agak longgar, ditambah dengan kesilapan mudah individu sekali gus membolehkan pelawat menggunakan peluang itu dengan sebaiknya.
“Meskipun agak longgar ketika Kedah mendahului 2-0, kita tetap percaya dengan pemain dan mereka membuktikan mampu memberi saingan kepada pasukan kuat,” katanya.