Kata Tun Dr Mahathir Mohamad negara ini secara umumnya berada dalam keadaan aman sehinggalah seorang “penyangak, pencuri dan perompak” muncul.
Kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, rakyat Malaysia menyayangi negara ini kerana ia memberikan kehidupan yang baik secara keseluruhan.
Keadaan di Malaysia, katanya, jauh lebih aman dan harmoni berbanding negara lain di Timur Tengah seperti Iraq, Syria atau Yaman apabila kaum yang sama berperang dan saling berbunuhan sesama sendiri.
“Tetapi walaupun kita mempunyai perbezaan, kita tidak merusuh atau bunuh membunuh. Kita ada banyak kaum dan bangsa tetapi kita sangat aman,” katanya di depan kira-kira 3,000 yang menghadiri program makan malam Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di George Town malam tadi.
Majlis itu dianjurkan oleh DAP. Turut hadir ketua menteri merangkap setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng, serta pemimpin kanan Pakatan Harapan.
Kata Dr Mahathir beliau mengakui keadaan di Malaysia ini tidaklah harmoni secara mutlak.
Tetapi katanya orang ramai masih boleh berkumpul beramai-ramai dan tidak perlu bimbang kepada kemungkinan ada orang tertentu melontarkan bom ke arah mereka.
Melayu pun tak sokong
“Di negara lain, kalau ada perhimpunan mungkin ada seseorang membaling bom. Oleh itu kita perlu bersyukur.
“Memang ada perbezaan-perbezaan di antara kita namun kita boleh bertolak-ansur.
“Keadaan ini berlaku sehinggalah seorang pencuri, perompak dan penyangak […] dan kita berdepan dengan masalah,” kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.
Kenyataan Dr Mahathir itu tidak menyebut nama namun dapat difahami ia disasarkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pernah menjadi orang yang diingini menjadi perdana menteri, Dr Mahathir kini berseteru dengan Najib ekoran skandal 1MDB yang dikaitkan dengan tokoh dari Pahang itu.
Najib bagaimanapun menafikan terlibat dalam sebarang salah laku manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berpendapat perdana menteri bebas daripada kesalahan.
Sementara itu Dr Mahathir yang memakai baju merah dengan logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tertera padanya berkata, rakyat kini bukan berada dalam suasana perang.
Namun katanya perdana menteri sudah melakukan banyak kesalahan seperti “membeli sokongan” untuk dirinya selain salah guna kuasa serta cuba memecah-belahkan perpaduan kaum.
Dalam ucapan selama kira-kira 40 minit itu Dr Mahathir menjelaskan bagaimana cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat dengan memisahkan pengundi Cina dengan Melayu.
“Najib percaya orang Cina tidak akan menyokong dia, dan saya pun percaya begitu […], tetapi dia cuba menyelamatkan diri dengan memisahkan orang Melayu dengan harapan mereka akan menyokongnya.
“Tapi percayalah, orang Melayu pun tidak akan menyokong dia,” katanya disambut tepukan gemuruh orang ramai yang hadir di majlis itu.
Kenyataan itu kata Dr Mahathir berani dibuat kerana berdasarkan pemerhatiannya pada setiap hari.
Semasa majlis di Selama, Perak pada Jumaat lalu katanya ia menarik kedatangan kira-kira 8,000 orang dengan sebahagian besar adalah orang Melayu.
Katanya majoriti orang yang hadir mendengar ceramah beliau pada malam itu adalah ahli atau penyokong Umno dan PAS.
“Mereka duduk dalam gelap sebab takut Najib akan kenal. Ini adalah pemerintahan diktator Najib.
“Kalau dia nampak ahli Umno atau PAS, dia akan bagi amaran supaya jangan hadir pada majlis kita, tetapi kemudian dia akan bagi dedak,” katanya.