DEMAM denggi bukan penghalang untuk atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas di trek larian temasya Sukan Para Asean 2017, semalam.
Ridzuan atau lebih mesra sebagai Dek Wan membuktikan penyakit itu tidak mampu melunturkan semangatnya daripada membawa pulang pingat emas dalam acara 300 meter T36 (celebral palsy) dengan catatan masa 26.03s.
Menurut laporan sebuah portal, Dek Wan melakukan aksi pecutan pada 50 meter terakhir sekali gus meninggalkan pesaing Indonesia, Muhamad Agung Laksana yang akur pada kedudukan kedua dengan catatan 26.20s di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Dek Wan ketika ditemubual melahirkan rasa kesyukurannya dan sangat gembira atas kemenangannya itu.
“Saya gembira dapat bagi emas untuk negara. Saya datang hari ini dengan pelbagai nasihat doktor dan jurulatih, saya tahu mereka risau tapi emas ini penting untuk saya,” katanya.
Sebelum ini, Dek Wan terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri daripada dua acara iaitu 100 meter dan 400 meter T36 kerana masih belum pulih sepenuhnya.
Terdahulu, Dek Wan berjaya mencipta sejarah sebagai atlet negara yang pertama meraih pingat emas di temasya tersebut dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dalam acara Paralimpik Rio di Brazil tahun lalu.
Kini, atlet berasal daripada Perlis itu dipantau pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengelakkan insiden tidak diingini.