spot_img
spot_img

Ikan Nyok Nyok Mak Dan Najib

spot_img

ULASAN | Mak saya betul-betul melenting pagi ini. Sambil membersihkan tiga ekor ikan nyok-nyok bersaiz sederhana yang dibeli di pasar kampung tak jauh dari rumah kami, mulut mak tak habis-habis terkumat-kamit membebel.

“Bodoh punya ketua, ekonomi negara sendiri tak terjaga, nak pulak dia bantu kuatkan ekonomi negara lain!”

Lucu melihat mak bercakap dengan ikan nyok-nyok. Berbekalkan segelas teh halia di tangan, saya pun melabuhkan punggung aeroback saya di lantai dapur, seraya mengusik mak:

- Advertisement -

“Kesian ikan nyok-nyok tu, mak. Kalau dia masih hidup, insya-Allah dia boleh jawab pertanyaan mak tu.”

Mak langsung tak mengendahkan usikan saya. Malah kerutan di dahinya semakin menjadi-jadi.

“Kenapa mak? Nampak tension je,” tanya saya, sedikit gusar.

- Advertisement -

“Mak tengah marah ni,” kata mak sambil melemparkan ikan yang sedang dibersihkannya.

“Apa yang ikan tu dah buat sampai mak nak marah kat dia?” saya tertawa kecil.

“Mak tak marah ikan. Mak marah pada Najib,” kata mak. Serius sungguh suaranya.

“Kenapa mak?” Saya hairan mengapa pagi-pagi lagi mak dah melenting pasal pemimpin negara.

Sambil mengutip semula ikan nyok-nyok dari singki, mak berkata: “Mak beli tiga ekor ikan ni saja dah RM40. Dua tahun lepas, harga ikan ni kat pasar kampung cuma RM10 hingga RM12 sekilo, tapi sekarang dah sampai RM30. Nasib baik taukeh tu bagi diskaun, jadi mak cuma bayar RM25 sekilo.”

“Apa pulak kaitannya dengan Najib?” tanya saya, sambil menghirup teh halia yang tidak lagi sepanas tadi.

“Yalah, kan Najib baru pergi jumpa presiden Amerika dan berjanji akan tolong kuatkan ekonomi mereka. Ekonomi negara kita ni macam mana pulak?” tanya mak.

“Alahai mak, kan Najib dah kata ekonomi negara kita memang cukup bagus,” jawab saya.

“Kalau dah cukup bagus, kenapa ikan nyok-nyok ni lebih dari dua kali ganda mahalnya berbanding dua tahun lepas? Kemampuan kita tak pun berubah, macam tu jugak.”

JANGAN MAKAN KALAU MAHAL SANGAT

Saya cuba menerangkan kepadanya tentang kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa kenaikan ketara harga ikan dan sayuran di negara kita berpunca daripada perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan.

“Saya tahulah mak tak puas hati, tapi janganlah sampai menuding jari pada Najib untuk segala permasalahan kita,” kata saya cuba meredakan kemarahan mak.

Mak berpaling kepada saya. Kedua-dua bulu keningnya berkerut dan seolah-olah hampir bercantum!

“Siapa ketua keluarga kita?” tanya mak, tiba-tiba menukar topik.

“Bapak,” jawab saya, agak pelik dengan soalan itu.

“Kalau berlaku litar pintas di rumah dan kita kehilangan bekalan elektrik semasa hujan lebat, salah siapa?” tanya mak. Keningnya masih cuba mengikat tali silaturrahim antara satu sama lain.

“Bukan salah sesiapa. Salah cuaca buruk,” kata saya ringkas.

“Siapa yang biasanya akan selesaikan masalah litar pintas di rumah kita supaya kamu semua boleh tengok TV dan tidur dengan selesa?” tanya mak.

Saya tersenyum. Bijak sungguh mak saya.

“Bapaklah. Bapak yang akan periksa kotak fius dan kemudiannya telefon TNB,” jawab saya.

“Walaupun litar pintas bukan salah bapak, tapi tanggungjawab dia untuk selesaikan permasalahan keluarga, bukankah begitu?” tanya mak.

Saya terdiam seketika.

“Jika bapak acuh tak acuh dengan masalah yang keluarga hadapi, bukankah memang bapak yang harus dipersalahkan?” tanya mak lagi.

“Andainya bapak menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan masalah rumah jiran, pada masa sama tak mampu membantu selesaikan masalah keluarga sendiri, bukankah bapak yang harus dipersalahkan?” suara mak semakin lantang.

PESANAN MAK BUAT NAJIB

“Kenaikan harga barang mungkin bukan berpunca daripada Najib secara langsung. Tapi sebagai pemimpin, dia kenalah ambil tahu.

“Sejak setahun lalu, harga ikan kembung, siakap, kerapu, sardin, cencaru, udang dan sotong naik mendadak. Dulu kubis RM2.50 sekilo, sekarang dah RM5. Bendi pula dari RM2 sekilo jadi RM4 dan bawang putih dari RM15 sekilo jadi RM20.

“Menteri bukannya nak bantu rakyat ringankan beban, malah disuruh pula kita tanam sayur sendiri. Paling teruk bila kita disuruh jangan makan ikan kalau harganya mahal sangat.

“Kalau kita boleh tanam sayur, bela ikan, bela ayam dan uruskan semua permasalahan sendiri, buat apa kita perlukan kerajaaan untuk pantau keadaan kita?”

Mak mula tercungap-cungap. Memang mak marah sungguh pagi ini.

“Walaupun bapak dah pencen, tapi alhamdulillah anak-anak dah besar dan bekerja. Kita masih boleh bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“Tapi macam mana dengan golongan berpendapatan rendah dan berkeluarga besar? Siapa nak bantu memperkukuhkan ekonomi rumahtangga mereka?”

Saya menghela nafas panjang. Memang saya kehilangan kata-kata ketika itu.

“Mak nak kamu tolong tulis satu artikel. Beritahu Najib, mak ada satu pesanan,” kata mak selepas seketika.

“Apa dia mak?”

“Beritahu Najib, mak selama ni tak pernah undi sesiapa melainkan BN. Tapi sekarang mak rasa sangat kecewa sebab Najib lebih mementingkan ekonomi negara asing berbanding ekonomi rumah tangga pengundi partinya sendiri.”

“Baiklah mak,” kata saya sambil mengusap bahunya.

________________________________________________

FA ABDUL ialah kolumnis Malaysiakini edisi bahasa Inggeris

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img