Newsweek menerbitkan semula artikel yang ditulis oleh bekas presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz pada pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Najib Abdul Razak.
Majalah itu menerbitkan artikel itu, yang pada awalnya disiarkan di laman web American Enterprise Institute (AEI), dengan tajuk “Trump’s meeting with Malaysian crook Najib reeks of the swamp”.
Tajuk utama artikel yang diterbitkan di laman web AEI pada 12 September – hari Najib bertemu Trump di Rumah Putih itu – bertajuk “This is not draining the swamp”.
Dalam artikelnya, Wolfowitz mendesak presiden Amerika Syarikat mencari siapa yang mengatur pertemuan itu dan menghantar isyarat kuat kepada pelobi yang cuba mendapatkan akses kepadanya.
Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai “malang” dan menceritakan bagaimana seorang pakar Australia di Asia Tenggara dipetik sebagai berkata oleh New York Times bahawa dari sudut pandang perhubungan awam, ia adalah pertemuan yang harus dielakkan Rumah Putih.
Malah, ia berkata bergambar dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un adalah lebih baik.
Wolfowitz juga merujuk kepada editorial Washington Post yang mengatakan kunjungan itu adalah lekeh dan mengingatkan saman Jabatan Kehakiman (DOJ) terhadap 1MDB serta kaitannya dengan Malaysian Official 1 yang disahkan sebagai Najib.
“Adakah presiden Trump tahu tentang perkara ini apabila Perdana Menteri Malaysia menemuinya,” katanya.