KEMANGKATAN Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Isnin lepas disifatkan satu kehilangan besar buat sukan bola sepak negeri ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar berkata Kedah bukan sahaja kehilangan peminat nombor satu bola sepak negeri, tetapi kehilangan seorang raja yang sangat mengambil tahu keperluan dan kebajikan pemain.
“Memang kita KFA kehilangan peminat nombor satu bola sepak Kedah yang cukup berpengaruh dari segi pemain dan sokongan moral kerana Almarhum cukup mengambil berat tentang pasukan sehinggakan jersi bola sepak yang baharu pun Almarhum minta dipersembahkan agar tidak hilang teras pasukan iaitu Hijau Kuning pada jersi tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, Almarhum Sultan Abdul Halim seorang yang mempunyai semangat luar biasa sehinggakan setiap kali membabitkan perlawanan antara pasukan Kedah, baginda akan mencemar duli turun menonton perlawanan itu.
“Sebab itu Almarhum sering berpesan kepada saya supaya jaga pasukan dan urus pasukan dengan baik kerana bola sepak adalah sukan rakyat yang menjadi sukan utama di negeri ini, Almarhum juga sentiasa mengikuti perkembangan perlawanan yang melibatkan pasukan Kedah ketika di Istana Negara,” katanya.
Katanya, minat Almarhum juga tidak terbatas di atas padang, tetapi sering menjemput pihak pengurusan dan pemain ke Istana Negara dan Istana Anak Bukit untuk meraikan kejuaraan yang dimenangi.
“Wajah kegembiraan terpancar pada wajah Almarhum baginda apabila berjaya mempersembahkan piala yang dimenangi terutama Piala Malaysia pada 2016, Piala FA dan Piala Sumbangsih tahun ini.
“Walaupun hanya naib juara Piala Malaysia pada 2015, Almarhum baginda tetap tidak lupa untuk meraikan bersama-sama pemain di Istana Negara,” katanya.
Keperibadian Almarhum Sultan Abdul Halim yang lemah lembut menjadikan baginda cukup disenangi dan disukai oleh pegawai dan pemain termasuk pemain import.
“Saya mudah buat kerja dengan Almarhum kerana baginda menepati masa dan teliti dalam apa-apa perkara jika melibatkan pasukan, saya tidak akan melupakan pesanan Almarhum untuk menjaga pasukan dan kebajikan pemain Kedah,” katanya.
Selain bola sepak, Almarhum Sultan Abdul Halim cukup meminati acara sukan air yang melibatkan rakyat jelata.
“Kalau tak silap baginda juga ada minta Temasya Sukan Sungai diadakan walaupun cuaca panas ketika itu kerana Almarhum meminati sukan perahu yang diadakan setiap tahun untuk rakyat,” katanya.
Almarhum Sultan Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang Isnin lepas pada usia 89 tahun.
Jenazah Almarhum dimakamkan di Makam Diraja Langgar kira-kira 4 petang semalam selepas memerintah Kedah selama 59 tahun.
Almarhum Sultan Abdul Halim mencatat sejarah dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-5 dari 21 September 1970 hinggga 20 September 1975 dan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dari 13 Disember 2011 hingga 12 Disember 2016. –Bernama