Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian pertukaran asing (forex) Bank Negara pada Isnin depan.
Ini disahkan oleh peguamnya Mohd Haniff Khatri Abdulla, yang menerima sepina bagi pihak anak guamnya, petang ini.
“Kami menerimanya (sepina) sekitar jam 2:30 petang dan Mahathir dijadualkan memberi keterangan pada jam 11 pagi Isnin,” katanya kepada Malaysiakini.
Peguam itu berkata Mahathir tidak dapat menerima sepina berkenaan kerana berada di Alor Setar bagi menghadiri pengkebumian Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Haniff berkata beliau akan menghantar surat kepada RCI esok untuk mengetahui bila pegawainya berhasrat untuk merakamkan kenyataan daripada Mahathir dan juga untuk meminta salinan dokumen yang akan mereka rujuk kepada bekas perdana menteri pada akhir minggu ini.
Beliau berkata ini adalah untuk memudahkan Mahathir memberi keterangannya.
Seramai 21 saksi telah memberi keterangan kepada RCI setakat ini, dengan terakhir adalah bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.
Kecuali Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun, saksi-saksi lain datang dengan membawa kenyataan saksi.