IPOH: Perak menumpaskan FELDA United FC 2-1 di Stadium Perak sebentar tadi, untuk muncul juara Kumpulan B saingan Piala Malaysia 2017.
Jaringan Mohd Nizad Ayub dan Shahrul Saad pada setiap babak membolehkan pasukan The Bos Gaurus kekal di tangga teratas selepas mengutip 16 mata untuk menempah pertemuan di suku akhir dengan Pahang.
FELDA United pula akan bertemu juara Kumpulan A, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.
Pada perlawanan tadi, kedua-dua pasukan yang sudah layak ke suku akhir hanya menurunkan barisan kedua masing-masing.
Tindakan kedua-dua pasukan itu dilihat lebih kepada untuk menguji kemampuan pemain simpanan yang untuk menimba pengalaman dalam saingan berprestij itu, selain menguji keserasian antara pemain.
Apapun anak buah Mehmet Durakovic membalas kepercayaan jurulatih mereka dengan kesungguhan dan semangat juang tinggi, bermula dengan Nizad Ayub yang meletakkan tuan rumah di hadapan melalui rembatan kencang dari jarak 25 meter selepas menerima umpanan Idris Ahmad.
Namun pelawat memadam kelebihan itu apabila tendangan Jasazrin Jamaluddin terkena Muhammad Danial Amier dan terbias ke dalam gawang.
Ketika perlawanan dijangka berakhir seri, Shahrul yang memakai lilitan kapten bijak menolak ke dalam gawang untuk gol kemenangan Perak.