MALAYSIA memulakan kempen kelayakan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) dengan langkah kanan apabila menewaskan Indonesia 3-0 dalam saingan Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, di sini, hari ini.
Persiapan ala kadar tanpa enam pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing tidak menjejaskan rentak skuad Datuk Ong Kim Swee untuk menghasilkan tiga jaringan pada separuh masa pertama.
Keputusan tersebut telah menyuntik semangat pemain untuk menghadapi pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand, pada perlawanan kedua, Jumaat ini, apabila taktikal yang diatur oleh Kim Swee telah mula membuahkan hasil.
Skuad Indonesia B-22, di bawah kendalian jurulatih Sepanyol, Luis Milla Aspas, menerima kejutan seawal minit ketiga apabila penyerang Muhammad Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan dengan menyudahkan bola hantaran Irfan Zakaria untuk menewaskan penjaga gol, Satria Tama Hardiyanto.
Malaysia melebarkan jurang apabila Mohd Jafri Firdaus Chew menghasilkan gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-19 sebelum menutup jaringan menerusi tandukan padu N.Thanabalan pada minit ke-30, hasil daripada sepakan sudut yang mengelirukan pemain pertahanan lawan.
Skuad Garuda bimbingan Aspas, yang juga merupakan bekas pemain kelab Barcelona pada era 90-an, memperhebatkan serangan pada permulaan separuh masa kedua untuk merapatkan jurang gol.
Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim, serta benteng pertahanan negara yang kental mengecewakan barisan depan Indonesia untuk melakukan penyudahan.
Malah, kebangkitan Indonesia pada separuh masa kedua tersekat apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Asnawi Mangkualam dibuang padang pada minit ke-68 kerana melakukan kekerasan terhadap Syazwan Andik.
“Kita bermula dengan baik dan berjaya memperolehi tiga gol menerusi perancangan taktikal yang baik serta barisan pemain pertahanan melakukan aksi baik untuk menyekat serta membantu pemain barisan depan mengatur serangan,” kata Kim Swee selepas itu.
Justeru, katanya, anak buahnya perlu kembali semula kepada perancangan asal dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran getir pasukan tuan rumah di stadium yang sama pada 8 malam (waktu Malaysia), Jumaat ini. – Bernama