Kerajaan berpendapat saman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan liwat keduanya sebagai menyalahi perlembagaan.
Kenyataan itu dibuat dalam permohonan kerajaan membatalkan saman dikemukakan bekas timbalan perdana menteri itu.
Kerajaan pusat berhujah, permohonan oleh Anwar itu tidak dapat difahami, menyebabkan prosiding bertindih, remeh, menyakitkan hati dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Hal itu kerana kerajaan berpendapat Anwar sudah tidak lagi mempunyai pilihan undang-undang berikutan sabitan serta hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Persekutuan ke atasnya pada Februari 2015.
Justeru, kerajaan berpendapat tidak ada alasan untuk mahkamah melayan permohonan terbaru Anwar.
Mengenai dakwaan Anwar bahawa Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, kerajaan persekutuan berkata, ia bersifat menghasut.
Difahamkan kerajaan persekutuan yang memfailkan permohonan itu Selasa lalu turut meminta agar prosiding yang sedang berlangsung sekarang ditangguhkan.
Difahamkan salinan permohonan itu diserahkan kepada peguam Anwar, Daim & Gamany.
Saman dikemukakan Anwar itu dibuat ekoran laporan portal Sarawak Report – yang memetik dokumen penyiasat – mendakwa perdana menteri memberi sejumlah bayaran kepada Shafee antara September 2013 dan Feb 2014.
Seorang peguam persendirian, Shafee dilantik oleh kerajaan mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan tuduhan liwat kali kedua membabitkan Anwar ketika ia dibicarakan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Kata Anwar, bayaran RM9.5 juta itu menyebabkan beliau dinafikan hak untuk dibicarakan secara adil kerana Shafee mempunyai kepentingan kewangan dalam perbicaraan itu, manakala Najib menganggap bekas anggota parlimen Permatang Pauh berkenaan sebagai seteru politiknya.