spot_img
spot_img

Elaun PISMP : Kerajaan Tak Patut Hapuskan

spot_img

ULASAN | Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai penghapusan elaun sara hidup RM430 sebulan dan elaun perjalanan RM500 setahun untuk pelajar yang menyertai Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bermula ambilan Jun 2018 adalah satu lagi berita buruk dalam siri pemotongan perbelanjaan kerajaan untuk bidang pendidikan di Malaysia.

Sebelum ini, belanjawan universiti awam tempatan juga dipotong kerana kekangan kewangan kerajaan yang semakin meruncing menyebabkan kontrak para profesor yang berpengalaman tidak disambung.

Tindakan Kementerian Pendidikan menghapuskan elaun sara hidup pelajar PISMP telah dikritik oleh banyak pihak. Beberapa hari lalu Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengeluarkan kenyataan mendesak kementerian supaya mengkaji semula keputusan itu.

- Advertisement -

Kerajaan sepatutnya memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan kerana ia melibatkan pelaburan jangka panjang negara. Belanjawan untuk bidang pendidikan tidak seharusnya dipotong sewenang-wenangnya kerana ini akan menjejaskan pembangunan modal insan negara.

PISMP adalah satu program penting untuk melatih bakal guru yang berkualiti. Ketika di Kementerian Pendidikan dahulu, saya terlibat secara langsung dalam penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menyediakan latihan untuk melahirkan guru berkualiti sebagai salah satu aspek penting pelan ini.

Mohon PTPTN bukan jawaban

- Advertisement -

Ketika itu, kami merancang untuk menjadikan bidang perguruan sebagai kerjaya pilihan. Untuk itu, PISMP menawarkan pelbagai insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk menyertai program ini, termasuk meneruskan pembayaran elaun sara hidup bulanan kepada setiap pelajar.

Apatah lagi, secara prinsipnya dalam mana-mana program pelatihan, majikanlah yang sepatutnya menanggung keseluruhan kos latihan termasuk menyediakan elaun sara hidup untuk para pelatih.

Elaun inilah yang digunakan oleh pelatih untuk menampung perbelanjaan mereka sepanjang menyertai program latihan.

Dalam konteks PISMP, pelajar adalah pelatih dan Kementerian Pendidikan adalah majikan. Dengan menghapuskan elaun sara hidup pelajar PISMP, Kementerian Pendidikan sebenarnya mengalih sebahagian daripada kos latihan perguruan yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaan kepada para pelatih dan ibu bapa mereka. Ini adalah sesuatu yang tidak adil.

Meminta pelajar PISMP memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bukanlah jalan penyelesaiannya.

Seperti yang kita tahu, PTPTN juga menghadapi kekangan dari segi keupayaan untuk menyediakan pinjaman kepada semua pelajar.

Apa yang saya khuatir ialah jika pelajar PISMP gagal mendapat pinjaman PTPTN dan mereka terpaksa menarik diri daripada mengikuti program PISMP kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan.

Apakah yang akan terjadi kepada unjuran latihan perguruan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan? Adakah satu hari nanti akan berlaku kekurangan guru untuk mata pelajaran tertentu dan guru lain terpaksa memikul beban berlebihan akibat kekurangan ini?

Keadaan ini akhirnya akan menjejaskan kualiti pendidikan negara.

Dengan kekangan kewangan kerajaan yang semakin meruncing dan belanjawan untuk pendidikan dipotong, saya khuatir matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menjadikan sistem pendidikan di negara ini antara yang terbaik di dunia akan menjadi lebih sukar untuk dicapai.

Saya berharap kerajaan akan menimbang semula keputusannya untuk menghapuskan elaun PISMP dan kembali memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan dalam merancang belanjawan negara.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img