ISU perumahan mampu milik kembali menjadi tumpuan. Ini berikutan cadangan Persatuan Pembeli Rumah (HBA) agar pasukan Petugas Khas Rumah Mampu Milik ditubuhkan sebagai antara langkah untuk mengatasi isu berkenaan yang sebenarnya masih belum ada pendekatan konkrit.
Menurut HBA, pasukan tersebut berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau keperluan rumah mampu milik dalam kalangan golongan berpendapatan menengah di negara ini.
Persatuan itu mendakwa, penubuhan pasukan khas itu perlu berikutan semakin ramai kumpulan berpendapatan menengah berhadapan kesukaran membeli rumah, termasuk kategori rumah mampu milik akibat kenaikan kos sara hidup.
Persatuan itu pada masa sama mencadangkan supaya Skim Sewa Beli (RTO) menjadi sebahagian daripada program perumahan sosial dan skim berkenaan perlu diperluaskan kepada kaÂtegori rumah mampu milik.
Pada umumnya, penulis mengalu-alukan cadangan HBA itu. Bagaimanapun, pada masa sama agak skeptikal sejauh mana penubuhan pasukan itu kelak mampu mengatasi isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia secara total.
Antara persoalan yang bermain di fikiran penulis ialah, kumpulan bagaimanakah yang dikategorikan dalam kelompok berpendapatan meneÂngah? Apakah julat pendapatan mereka dan berapa ramai bilangan kumpulan ini?
Selain itu, apakah definisi rumah mampu milik? Persoalan yang sehingga kini masih belum ada rumusannya. Sedangkan, dalam isu ini perkara-perkara di atas saling berhubungkait antara satu masa lain sekiranya masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat benar-benar hendak diatasi.
Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), harga rumah kategori mampu milik dalam lingkungan antara RM100,000 hingga RM400,000. Harga yang ditawarkan itu jelas CAP, dikatakan di luar kemampuan majoriti rakyat terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Ketika ini sudah pun ada kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat dalam isu ini sama ada secara langsung dan tidak langsung. Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.
Kerajaan juga telah melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) yang dijadikan hala tuju dan asas dalam perancaÂngan dan pembangunan sektor perumahan oleh semua kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan serta pihak swasta.
Malah, matlamat DRN adalah untuk menyediakan rumah yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. DRN juga diperkenalkan untuk menaÂngani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri perumahan pada masa kini. JusÂteru, perlukan satu lagi pasukan atau badan ditubuhkan khusus untuk mendepani isu yang sebenarnya sama?
Kerajaan juga telah meÂlancarkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia untuk membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat. PR1MA yang ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program menyeluruh bagi membina rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana sekitar RM2,500 hingga RM15,000 sebulan yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.
Menurut laporan, lebih 1.4 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan PR1MA dan daripada jumlah itu, sebanyak 166,972 orang telah memohon kediaman PR1MA.
Apa yang perlu sekarang ialah, koordinasi antara semua pihak berkepentingan. Tidak guna diwujudkan terlalu baÂnyak pasukan petugas khas, badan, agensi, organisasi atas apa nama sekalipun. Apa yang rakyat mahukan ialah penyelesaian terhadap permasalahan yang membelenggu mereka sejak sekian lama. Mereka bukan sangat hendak tahu hasil kajian demi kajian yang tidak memberi sebarang impak jika tiada tindakan dilakukan.