KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) kembali menempelak Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa selepas berterusan menyalahkan badan pentadbir liga itu susulan sekatan perpindahan pemain ke atas pasukan itu. Menerusi satu kenyataannya hari ini, FMLLP meminta KAFA tidak menyalahkan pihaknya atas kegagalan mereka melengkapkan pendaftaran pemain, sekali gus menyebabkan tidak dapat mendaftarkan Seydi L Imam.
“Perbelanjaan pasukan dan kegagalan mereka untuk memenuhi tanggungjawab bukanlah kesalahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau FMLLP. “Pengurusan pasukan yang menentukan berapa jumlah dibelanjakan dan bila mereka gagal, itu bukanlah kesalahan pihak lain,” kata FMLLP dalam kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini. Dalam masa sama, FMLLP juga menegaskan sekatan perpindahan pemain bukanlah satu fenomena baharu dalam bola sepak memandangkan kelab besar antarabangsa juga pernah dikenakan tindakan sama atas pelbagai sebab.
Selain itu, FMLLP juga percaya Kelantan tidak akan berdepan kegagalan dan tersingkir ke Liga Perdana atas sebab tidak dapat menggantikan seorang pemain import baharu pada musim ini. “Ini menidakkan kekuatan tradisi pasukan Kelantan yang berupa semangat berpasukan, penyokong yang tegar dan komitmen dari semua pemegang taruh yang terbabit dalam bola sepak Kelantan.
“Kekuatan pasukan Kelantan ini masih kekal dan tetap dihormati oleh semua yang terbabit dalam bola sepak Malaysia. Kami berharap ia berterusan dan pasukan Kelantan akan terus menjadi pasukan gergasi di dalam kancah bola sepak Malaysia,” katanya.