spot_img
spot_img

Ahli Umno Perlu Belajar Dari Peristiwa 2008

spot_img

BERA – Ahli Umno diingatkan supaya belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum (PRU) 2008 yang menyaksikan pembangkang menawan lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peristiwa itu seharusnya mengajar anggota parti untuk tidak bersikap sambil lewa, sebaliknya melipatgandakan usaha untuk memastikan kemenangan pada PRU akan datang.

Katanya, isu berkaitan kuasa adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan apatah lagi dengan taktik pembangkang yang sanggup menyebarkan fitnah dan bersekongkol dengan negara asing untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

- Advertisement -

“Tidak perlu kita layan atau beri fokus pada perkara lain. Pergi kepada persiapan pilihan raya sahaja kerana kita tidak boleh main-main dalam hal berkaitan kuasa yang mana pembangkang boleh duduk bersama-sama tubuh Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

“Mereka masing-masing cuba untuk meraih sokongan dan kita kena beringat bahawa walaupun mereka ada Tun M (Dr Mahathir Mohamad) atau Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), ketua mereka masih Lim Kit Siang (penasihat DAP),” katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bera di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua Umno Bahagian Bera.

- Advertisement -

Turut hadir barisan kepimpinan parti bahagian iaitu Sabariah Saidan (Wanita); Mohd Zoolihsan Ahmad (Pemuda) dan Salmiah Ab Rahman (Puteri); Adun Kemayan, Datuk Fadil Osman dan Adun Guai, Datuk Norol Azali Sulaiman.

Mahdzir juga menyifatkan bahawa ahli Umno seharusnya menanam sikap setia kepada pemimpin dan seharusnya berlapang dada untuk berbincang dalam mencari penyelesaian kepada sebarang permasalahan yang wujud dalam parti.

“Tidak seharusnya bila ada masalah, keluar memburukkan pemimpin atau negara kepada negara asing atau memanggil media asing sedangkan sebelum itu sudah 22 tahun berada bersama parti,” katanya.

Mahdzir juga menegaskan Umno bukan sebuah parti bersikap perkauman, walaupun memperjuangkan keistimewaan orang Melayu.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata perkara itu terbukti apabila sekolah vernakular masih dibenarkan beroperasi walaupun Umno telah menerajui pimpinan negara sejak merdeka.

“Malah, kebajikan anak Orang Asli juga dijaga. Setakat ini, terdapat 90 sekolah khusus untuk anak Orang Asli di Semenanjung dan daripada jumlah itu, 55 sekolah dilengkapi kemudahan asrama.

Ini bagi membolehkan anak-anak ini tinggal di sekolah tanpa perlu berulang alik jauh untuk menuntut ilmu. Ini semua adalah hasil usaha Umno bagi memastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada perkembangan negara,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, kementeriannya juga bersedia mengkaji cadangan Ismail Sabri supaya sekolah di Felda Tembangau 6 di sini, dijadikan sebagai sekolah yang bercampur sekolah rendah dan sekolah menengah sehingga Tingkatan Tiga.

Ini kerana, Ismail Sabri berkata sekolah itu berhampiran dengan penempatan Orang Asli yang terbesar di daerah ini iaitu Pos Iskandar dan perubahan itu membolehkan kanak-kanak masyarakat itu mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.

“Sekolah sedia ada juga mempunyai 22 buah kelas dan daripada jumlah itu, hanya enam yang digunakan. Bermaksud ada 16 kelas kosong yang boleh digunakan. Jika dipersetujui, anak Orang Asli di situ boleh bersekolah sehingga Tingkatan Tiga tanpa meninggalkan kampung,” katanya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img