BULAN Jun sudah berakhir. Ini bermakna separuh perancangan untuk tahun 2017 telah berlalu. Ini adalah masa terbaik untuk menilai semula peratusan kejayaan perancangan untuk tahun ini agar dapat dikenalpasti kekuatan yang perlu diperkukuhkan dan mengubah strategi bagi aspek yang menunjukkan kegagalan.
Dalam konteks penilaian hala tuju kemajuan dan masa depan negara, kerangka penilaian hendaklah diletak dalam kerangka yang lebih global.
Malaysia dilihat mengambil sikap proaktif untuk menempatkan kedudukan dalam pelbagai ranking dan indeks dunia seperti ranking universiti terbaik dunia, indeks kesejahteraan legatum, indeks kebahagiaan dunia dan juga indeks daya saing global.
Maka, banyak sektor dalam negara termasuklah pendidikan tinggi, kesihatan, perniagaan dan sebagainya seringkali mencari kaedah terbaik untuk memastikan terus bersaing di pelbagai peringkat. Ini adalah satu strategi makro untuk kekal relevan dan terus kompeten dalam persaingan ekonomi global sejajar persediaan dalam memacu perubahan pada era revolusi industri ke-4.
Menyedari kepentingan penilaian kemajuan dunia masa depan, Forum Ekonomi Dunia yang berpusat di Geneva telah membuat penilaian terhadap daya saing 138 negara dan indeks daya saing global itu menyenaraikan Malaysia di tangga ke-25 berdaya saing pada fasa penilaian 2016-2017 mengatasi Thailand (tangga ke-34), Indonesia (41), Filipina (57), Brunei (58), dan ÂVietnam (60).
Malaysia juga mengatasi negara maju seperti Korea Selatan (tangga ke-26) dan beberapa negara Eropah seperti Poland (38), Itali (44) dan Portugal (46).
Indeks ini meletakkan Switzerland sebagai negara paling berdaya saing, diikuti Singapura, Amerika Syarikat, Belanda, Jerman, Sweden, United Kingdom, Jepun, Hong Kong dan Finland.
Mungkin perlu ada strategi yang lebih bijak untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang keunggulan jiran tetangga kita iaitu Singapura tentang strategi holistik untuk muncul sebagai negara ke-2 berdaya saing yang dilakukan negara itu sebagai asas untuk pertimbangan perancangan kemajuan masa depan negara.
Yang menjadi tanda tanya juga adalah negara tersebut bukan sekadar menjuarai ranking dunia berkaitan ekonomi malah turut berada di dalam kelompok atas dalam beberapa sektor lain.
Wajar sekali untuk kita melihat aspek-aspek positif serta kebijakan lokal yang ada pada Singapura untuk dipelajari bersama. Keunikan Malaysia amat banyak termasuklah keterbukaan rakyat dalam menerima perubahan serta sumber-sumber asli serta kebijaksanaan lokal (local wisdom) yang dijadikan modal dalam menjayakan transformasi negara seiring dengan hala tuju perubahan dunia.
Kedudukan Malaysia dalam indeks daya saing global ini adalah satu bentuk semakan pencapaian negara di peringat global.
Jika dilihat secara perbandingan pencapaian pada fasa sebelum ini (2015-2016 pada ranking ke-18), Malaysia jatuh tujuh tangga dan memberi isyarat kita memerlukan usaha yang lebih gigih pada baki 2017.
Tren yang jelas di sini adalah kesemua negara Asia Tenggara yang terlibat dalam tinjauan daya saing ini mencatatkan kejatuhan ranking yang memberi mesej bahawa kemajuan Malaysia perlu kemajuan serantau. Sebagai negara yang berjiran dengan kepelbagaian etnik, budaya, nilai dan amalan demokrasi, kestabilan serta kemajuan serantau adalah menjadi pra-syarat.
Justeru, usaha gigih dalam Âgerakan kolaboratif kemajuan serantau amat perlu ditingkatkan lagi. Untuk memahami lebih lanjut tentang model dan faktor yang dijadikan asas kepada penilaian ini, kita perlu meneliti kerangka penilaian yang digunakan.
Terdapat tiga konstruk utama dalam penilaian indeks ini adalah konstruk keperluan asas, peningkatan kecekapan, inovasi dan kecanggihan.
Empat subindeks kepada konstruk keperluan asas adalah melibatkan institusi, infrastruktur, persekitaran ekonomi; manakala untuk subindeks bagi konstruk peningkatan kecekapan adalah pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran barangan, kecekapan pasaran tenaga kerja, pembangunan pasaran kewangan, kesediaan teknologi dan saiz pasaran.
Untuk konstruk inovasi dan kecanggihan pula terdapat dua subindeks iaitu kecanggihan perniagaan dan inovasi. Konstruk keperluan asas daya saing berdasarkan model yang dikemukakan oleh kumpulan pakar ekonomi pimpinan Profesor Klaus Schwab dan Professor Xavier Sala-i-MartÃn adalah faktor utama kepada pemacu ekonomi negara. Hal ini bermakna keempat-empat aspek asas perlu diÂtitikberatkan untuk memastikan kemajuan masa depan negara.
Sementara itu, aspek-aspek dalam konstruk peningkatan kecekapan dipercayai sebagai faktor kepada ekonomi yang berasaskan kecekapan; manakala konstruk inovasi dan kecanggihan adalah faktor kepada ekonomi berteraskan inovasi.
Merenung semula keadaan semasa dalam negara, sejauh manakah pencapaian kita dalam setiap subindeks tersebut masih memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam.
Pakar ekonomi, Profesor Datuk Seri Noor Azlan Ghazali yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seÂringkali mengingatkan kita untuk berfikir jauh ke hadapan dengan menilai semula amalan sedia ada.
Menurut beliau, kelaziman dalam pelbagai bentuk tindakan perlu dikaji semula. Hal ini kerana kelaziman tersebut boleh menjadi penghalang utama kepada kemajuan dan menyekat idea-idea baharu yang lebih canggih. Amalan sedia ada yang dilihat membazir dan melambatkan proses kemajuan perlu dibuat perubahan segera. Ini kerana dunia bergerak pantas dan telah meninggalkan banyak amalan sedia ada sehingga menjadikan sesuatu tidak relevan.
Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah satu platform penjanaan idea dan garapan hasrat sederap untuk memastikan penjanaan kemajuan negara adalah aspirasi rakyat Malaysia. Pendekatan bottom-up ini adalah aspek penting dalam memastikan Malaysia terus kekal bersaing di peringkat global.
Sensitiviti negara terhadap pelbagai indeks di peringkat dunia adalah satu bentuk semakan pencapaian agar terus berada di tahap yang memberangsangkan.
Di peringkat mikro, usaha yang lebih gigih perlu dilakukan secara teratur dan konsisten. Malaysia memiliki ramai tenaga kerja berpengetahuan tinggi dan mahir yang merupakan modal insan berguna kepada keupayaan untuk bersaing dalam pelbagai peringkat. Ramai rakyat Malaysia menjadi tulang belakang kepada pelbagai industri global.
Kita yakin Malaysia berupaya melonjak sebagai salah sebuah negara yang amat berdaya saing jika kualiti peribadi setiap individu di Malaysia dikembangkan dengan sempurna. Rebutlah peluang yang banyak dan terbuka di negara kita.
DR. MOHD. MAHZAN AWANG ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan Âmerangkap Ketua Pusat Kepelbagaian Pelajar dan Pembangunan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).