spot_img
spot_img

4 Kebimbangan Mengenai Pemilikkan Hartanah

spot_img

SEJAK kebelakangan ini, isu-isu hartanah menjadi topik hangat dalam perbualan masyarakat. Ada yang bercakap positif mengenai hartanah dan ada yang bercakap negatif. Pada pendapat saya, ini adalah bagus. Positif atau negatif, saya suka, kerana sekurang-kurangnya masyarakat kita sedang bercakap tentang hartanah. Tugas saya sebagai cikgu hartanah untuk mendidik masyarakat cara yang bijak dan selamat dalam pemilikan dan pelaburan hartanah. Berikut adalah antara kebimbangan saya tentang pemilikan hartanah.

1.Masuk gelang­gang tanpa ilmu

Kita sedang menyaksikan satu fenomena yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Orang Melayu semakin terbuka mata kepada dunia hartanah. Saya panggil senario ini ombak hartanah Melayu. Orang Melayu semakin teruja mahu terlibat dalam dunia baru ini. Ada pula yang terlebih teruja dan terus terjun dalam dunia hartanah tanpa berbekalkan senjata ilmu. Mereka ini meletakkan diri mereka dalam ke­adaan bahaya!

- Advertisement -

Memang benar kita boleh jadi kaya kerana hartanah. Tetapi ramai juga jadi merana dan sengsara kerana tersilap langkah. Saya memang mahu memperjuangkan pemilikan hartanah dalam kalangan orang Melayu, tetapi tidaklah saya mahu melihat orang kita sengsara kerananya!

2.Terlalu negatif tentang hartanah

Dalam ombak hartanah Melayu, ada kumpulan yang terlalu negatif tentang hartanah. Oleh kerana ada yang tidak memahami dunia sepenuhnya, mereka banyak membuat andaian yang salah. Mereka memanggil orang-orang yang terlibat de­ngan hartanah sebagai kapitalis, malah ada pernah keluarkan kata-kata bahawa orang hartanah adalah golongan firaun; orang-orang yang ‘berada’ menzalimi golongan yang ‘tiada’. Kenya­taan-kenyataan seperti terkeluar hanya apabila tidak memahami alam hartanah de­ngan sepenuhnya.

- Advertisement -

Realitinya, dalam mana-mana industri, ada kumpulan yang berbuat baik dan ada yang berbuat jahat. Oleh kerana mungkin ada segelintir yang tidak bertanggungjawab, rosak industri. Sebagai contoh orang-orang yang mengambil kesempatan keuntungan yang tidak munasabah dalam jualan hartanah. Atau pelabur-pelabur yang terlampau agresif sehingga mengambil hak orang lain. Tetapi, realitinya, ramai yang dapat menyumbang kembali kepada masyarakat apabila mencipta kekuatan kewangan melalui hartanah!

3.Pengurusan kewangan yang tidak terurus

Saya bimbang melihat gaya hidup sesetengah lapisan ma­syarakat hari ini. Pengurusan kewangan tidak terurus. Boleh dikatakan lapan dalam 10 tidak tahu di mana kedudukan mereka secara kewangan. Mereka tak tahu berapa sebenarnya pendapatan dan perbelanjaan. Mereka hidup dari gaji ke gaji. Asalkan bila dicucuk kad ATM duit masih ada, itulah tandanya mereka boleh terus berbelanja sesuka hati tanpa perancangan rapi setiap bulan.

Kumpulan masyarakat ini belanjakan keseluruhan gaji mereka dan lebih lagi dengan penggunaan kad kredit mahupun pembiayaan peribadi. Kalau diaudit satu persatu per­belanjaan, banyak dibelanjakan kepada sampah atau perbelanjaan tidak perlu tapi meme­nuhi kemahuan. Inilah penyakit mental yang berleluasa iaitu hedonisme. Beli kerana mahu walaupun tak perlu. Akhirnya kerana banyak sampah kewang­an dan perancangan yang tidak rapi, mereka ini tidak dapat membeli rumah. Dalam kea­daan ini, mereka lebih senang menyalahkan orang lain selain daripada diri mereka sendiri!

4.Orang muda tidak minat tentang hartanah

Saya bimbang melihat orang muda tidak lagi minat hartanah. Ada yang pernah luahkan kepada saya bahawa rumah adalah tanggungjawab mak ayah mereka. Sepatutnya mak ayah dah kena fikirkan tentang rumah semasa zaman mereka kerana rumah pada masa itu murah berbanding sekarang. Keutamaan kewangan orang muda jadi berbeza. Rumah tidak dalam perancangan kewangan mereka. Gaya hidup, gajet, kereta jadi keutamaan.

Jadi akhirnya rumah tanggungjawab siapa? Tanggungjawab kerajaan semata-mata? Tanggungjawab orang lain selain daripada diri sendiri? Realitinya jelas dan mengerikan. Kalau tidak mahu fikirkan tentang pemilikan hartanah sekarang masa muda, akhirnya nanti kena fikir juga. Tapi bila kita dah tua nanti baru nak fikir dan susun strategi, sudah terlambat. Pada masa itu hanya penyesalan yang mampu kita lakukan dan sudah tidak ba­nyak perkara yang mampu kita lakukan.

Itulah empat kebimbangan saya tentang pemilikan hartanah dalam kalangan orang Melayu. Semoga topik-topik hartanah ini terus menjadi perbualan dan dibincangkan di semua lapisan masyarakat. Positif atau negatif, itu tidak penting. Yang penting ialah setiap go­longan masyarakat memahami bahawa isu pemilikan hartanah ini hanya boleh diselesaikan apabila semua pihak bertanggungjawab dan bersatu untuk menyelesaikannya.

Ahyat Ishak

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img