SHAH ALAM – Kenyataan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berhubung isu Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dilihat sebagai ugutan kepada kerajaan pusat.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, turut menyifatkan Iskandar sebagai tidak profesional dengan mendakwa kerajaan pusat cuba menyerang kerajaan negeri menggunakan isu kepentingan rakyat.
“Kenyataan beliau (Iskandar) sangat kebudak-budakan dan dakwaan kerajaan pusat cuba berkonfrontasi dan menyerang kerajaan negeri juga adalah tidak berasas.
“Apa yang beliau katakan itu seolah-olah kerajaan negeri ‘mengugut’ kerajaan persekutuan dalam isu tersebut,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan sikap Kerajaan Selangor yang tidak berlapang dada apabila hakikatnya mereka gagal menguruskan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.
Noh berkata, kerajaan pusat cuba untuk memberikan pembelaan kepada rakyat setelah kerajaan negeri gagal untuk memenuhi kehendak rakyat.
Katanya, kerajaan negeri sepatutnya menjadi pemudah cara berkaitan isu kepentingan rakyat dan bukannya cuba mengalihkah isu dengan menghalang bantuan daripada kerajaan pusat.
“Mereka (kerajaan negeri) jelas gagal memberikan pembelaan kepada rakyat, maka bila rakyat memohon, kerajaan pusat cuba beri pembelaan.
“Akibat malu dengan kelemahan sendiri, jadi sekarang nak cuba halang kerajaan pusat membantu rakyat pula,” katanya.
Terdahulu, Iskandar melalui satu kenyataan media berkata, kerajaan negeri akan membatalkan keistimewaan yang diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) jika kerajaan pusat terus mengambil sikap berkonfrontasi dengan kerajaan negeri di dalam isu-isu perumahan.
Iskandar turut mendakwa kerajaan pusat dilihat lebih berminat untuk menyerang kerajaan negeri berbanding menyelesaikan masalah rakyat khususnya dalam isu pengurusan PPR Taman Putra Permai.