Biarpun ramai yang masih suka kepada lagu-lagu malar segar, tetapi lagu baharu memberikan sentuhan berbeza kepada industri seni hiburan tempatan. Lagu-lagu raya moden tidak kurang hebatnya, punyai keistimewaan tersendiri dalam menyuntik kemeriahan Aidilfitri.
#1 Hari Kemenangan
Dato’ Siti Nurhaliza satu-satunya artis tempatan yang berjaya menghasilkan lagu raya moden yang malar segar. Setelah lagu “Mekar Hari Raya” yang dikeluarkan pada tahun 2006, Dato’ Siti hadir dengan lagu raya baharu tahun lalu. Antara lagu Hari Raya lain yang pernah dinyanyikan Siti termasuk “Sesuci Lebaran”, “Nazam Lebaran”, “Suara Takbir”, “Bila Raya Menjelma”, “Air Mata Syawal”, “Nikmat Hari Raya” dan “Aidilfitri Di Alaf Baru”.
#2 Tahmid Lebaran
Lagu nyanyian lima artis nasyid yang pernah menjadi fenomena: Inteam, Hijjaz, Raihan, Rabbani, Far East dan Lah Ahmad. Lagu ini bukan sahaja mengubat kerinduan kepada mereka tetapi suara dan liriknya mengajak kita untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.
#3 Ceria Raya
Lagu raya nyanyian Mark Adam, Najwa Latiff dan bintang Ceria Popstar ini bukan sahaja catchy tetapi liriknya cukup dekat dan terngiang-ngiang di kepala.
#4 Lara Dalam Kerinduan
Aiman Tino yang pernah mencipta sejarah industri muzik apabila single pertama nyanyiannya, “Ku Rela Dibenci”, mencetuskan fenomena sehingga kini telah mendapat lebih 34 juta tontonan. Sudah tentu peminatnya ternanti-nanti lagu raya pertama nyanyian Aiman. Biarpun baru 2 minggu dimuat naik di YouTube, lagu “Lara Dalam Kerinduan” mendapat lebih 1.6 juta tontonan.
#5 Kasih Lebaran
Antara bintang muda yang mewarnakan seni dengan lagunya yang cukup hits. Populariti Sufian Suhaimi naik dengan lagu “Terakhir”. Dia membuktikan dia bukanlah penyanyi one hit wonder apabila mengeluarkan lagu kedua berjudul “Harus Aku” dan terbaharu lagu raya yang berjudul “Kasih Lebaran”.