spot_img
spot_img

Pelaburan HSBC AS$250 Juta Di TRX

spot_img

Pelaburan HSBC Malaysia bernilai AS$250 juta (AS$1 = RM4.25) untuk membina ibu pejabat masa depannya di Tun Razak Exchange (TRX) menyokong komitmen bank itu untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan di ASEAN.

HSBC Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ia telah memeterai perjanjian jual beli dengan TRX City Sdn Bhd bagi membina ibu pejabat tersebut di daerah kewangan antarabangsa itu, menandakan fasa pertama pembelian tanah.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Mukhtar Hussain, berkata pelaburan bagi ibu pejabat HSBC Malaysia TRX itu, yang akan mempunyai minimum ruang pejabat 568,000 kaki persegi, menjadikan HSBC sebagai bank asing pertama melabur dalam pembangunan TRX.

- Advertisement -

“Pemboleh strategik Program Transformasi Ekonomi kerajaan Malaysia, TRX, akan mengukuhkan lagi peranan Kuala Lumpur sebagai ibu kota kewangan negara, dengan mewujudkan persekitaran perniagaan berpusat dan lancar bagi firma perkhidmatan kewangan, syarikat multinasional dan menyokong perniagaan sampingan.

“Pelaburan ini akan menjadi asas bagi membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan di rantau ASEAN, dan HSBC gembira menjadi sebahagian daripada pembangunan ikonik ini,” katanya.

Mukhtar berkata bank itu menikmati kejayaan perniagaan yang luar biasa selama lebih 130 tahun beroperasi di Malaysia dan Malaysia merupakan pasaran keutamaan bagi HSBC Group di seluruh dunia.

- Advertisement -

“Pelaburan ini akan memantapkan lagi pelan pertumbuhan kami di Malaysia. Kerjasama antara HSBC dan TRX mempamerkan komitmen kami kepada kakitangan kami, komuniti dan perniagaan kami di Malaysia dan yang ketara sekali, ia juga mengukuhkan peranan penting Malaysia dalam strategi ASEAN HSBC,” katanya.

Beliau berkata TRX terletak strategik di tengah-tengah ibu kota Malaysia dan akan menjadi pemacu penting dalam meningkatkan status Malaysia sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa.

“Kami menjangkakan banyak syarikat multinasional dan tempatan akan tertarik dengan kawasan ini. Keputusan strategik untuk melabur di TRX adalah satu pencapaian penting bagi HSBC yang menyokong rancangan kami mengembangkan francais kami di sini dan bagi masa depan Malaysia.

“Dengan kedudukan kukuh kami di negara ini sebagai bank asing utama dan rangkaian meluas antarabangsa, HSBC berkedudukan baik untuk meningkatkan kejayaan TRX dan saya percaya kerjasama kami akan dapat membantu membangunkan dengan jayanya pusat kewangan negara itu,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib, berkata perkongsian itu merupakan satu pencapaian penting bagi TRX, dalam usaha syarikat tersebut untuk merealisasikan visinya menjadi pusat kewangan antarabangsa Malaysia.

“Kami gembira mempunyai institusi perkhidmatan kewangan utama seperti HSBC sebagai rakan kongsi kami, kerana ini akan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat utama bagi kewangan dan perniagaan antarabangsa.

“Setakat ini, kira-kira 70 peratus daripada plot yang tersedia di TRX telah dikomersialkan, dan TRX City terus menerima minat daripada pelbagai pelabur dan penyewa tempatan dan juga antarabangsa, termasuk bank-bank dan institusi kewangan utama dunia,” katanya.

– Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img