SHAH ALAM – Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz disarankan agar lebih ‘bersopan’ ketika melontarkan padangan mahupun kritikan kepada ‘rakan-rakan’ BN.
Pensyarah kanan, Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, ini bagi menghormati semangat setiakawanan anggota dalam BN.
“Tindakan Nazri tersebut sudah pasti menimbulkan kontroversi dari segi percakapannya dan lebih besar impaknya apabila pertuturan dan komentar beliau ditularkan dalam Internet dan dapat disaksikan oleh rakyat negara ini,” katanya kepada Media.
Beliau berkata demikian, mengulas isu berkaitan kenyataan Nazri yang menggelar Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri “setahun jagung”.
Rentetan itu, Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof membidas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kerana mengeluarkan kenyataan yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.
Memasuki episod baharu, Nazri dipetik sebagai berkata, beliau tidak peduli apa yang dikatakan pemimpin BN Sarawak terhadapnya, malah enggan mempedulikan ketua pergerakan itu sendiri.
Isu ini timbul berikutan, gesaan Abdul Karim agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Julai depan.
Mengulas lanjut, Syed berpandangan eloklah Kementerian Pelancongan dan Kerajaan Sarawak dapat bersemuka,berbincang dan berdialog mengenai hal ini bagi mengelakkan pertikaian berterusan.
“Yang akhirnya akan memberi kesan reputasi kepada nama baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Ujarnya lagi,” Persefahaman yang berteraskan kepada penjelasan menyeluruh mengenai dasar percukaian pelancongan ini harus dibuat di antara Kementerian Pelancongan dengan Kerajaan-kerjaan negeri bagi mengelakkan pertikaian atau kekaburan terhadap polisi ini”.