BARISAN pemimpin muda dalam Pakatan Harapan sepatutnya perlu diberi peluang untuk memimpin pakatan pembangkang itu bagi meraih sokongan daripada pengundi golongan muda.
Menurut Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berbanding dengan pemimpin-pemimpin veteran seperti bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin-pemimpin muda jelas terbukti tidak mendatangkan bebanan kepada Pakatan Harapan.
“Parti pembangkang kini sudah terbahagi kepada dua puak, iaitu Pakatan Harapan dan Pas. Saya rasa pemimpin-pemimpin muda seperti bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Mohamed Azmin Ali adalah antara calon-calon muda dalam Pakatan Harapan yang perlu diberi peluang yang luas.