KUALA LUMPUR: Malaysia mengharapkan badi kemarau pingat emas dalam acara berpasukan lelaki sepak takraw selama 26 tahun di Sukan SEA akan berakhir pada temasya di Kuala Lumpur, Ogos ini.
Pandangan itu disuarakan tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi yang yakin sokongan padu di laman sendiri bakal membutirkan kilauan pingat emas dalam acara berkenaan yang kali terakhir diraih Malaysia di Sukan SEA Manila 1991. “Kali ini bermain di Malaysia, saya lebih yakin untuk dapatkan pingat emas itu terutamanya dalam acara berpasukan,” kata Syahir kepada media selepas sidang media Program Kita Juara, hari ini. “Dalam acara berpasukan, kita sudah lama tidak meraih emas. Kami bermain 12 orang dan kalau boleh kami nak semua dapat emas. Dan ia akan menjadi lebih manis kalau pasukan sepak takraw nanti dapat menyumbang dua emas, itu lebih baik.”
Pada temasya di Singapura dua tahun lalu, acara berpasukan yang turut disertai Syahir menghadiahkan pingat perak manakala emas diraih Thailand. Selain itu, Syahir bersama Farhan Adam, Mohd Hanafiah Dolah, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi turut menghadiahkan pingat emas dalam acara antara regu.
Pasukan takraw negara menjalani latihan intensif di Thailand baru-baru ini dan persiapan itu cukup untuk mereka mendalami ilmu berguna daripada pemain dari negara Gajah Putih itu.
“Tekong Thailand mempunyai teknik yang cukup hebat, umemang lain daripada yang lain. Kita tengok saja sudah cukup gerun. Namun, apabila sudah selalu berjumpa (bersaing), perasaan itu sudah tidak ada.
“Jadi, Insya-Allah, kami akan dapat mengatasinya pada Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos nanti,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.