spot_imgspot_img

30 Ogos Tarikh Keramat Rayuan Saman

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menetapkan 30 Ogos untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman misfeasans Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Irliani Noor Khuszairy yang mewakili Mahathir dan dua yang lain – bekas anggota Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin, berkata kes itu dikemukakan untuk pengurusan di hadapan pendaftar Mariam Maran Abdullah, hari ini.

Najib telah diwakili oleh Nur Azira Abu Hayan.

Pada 28 April lalu, Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bahawa saman itu – yang bertujuan untuk mendapatkan semula RM2.64 bilion daripada Najib – adalah cacat atas alasan Najib, sebagai perdana menteri, bukan seorang penjawat awam dalam jawatan awam.

Ketiga-tiga mereka pada 23 Mac tahun lalu, memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan salah laku.

Mereka memohon perisytiharan bahawa Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam selaku perdana menteri, pengerusi BN dan presiden Umno.

Sebelum ini, Mahathir secara terbuka menyatakan bahawa penghakiman itu adalah salah kerana Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghadapi perbicaraan kes rasuah sebagai pegawai awam tetapi perkara yang sama tidak terpakai ke atas Najib.

Malaysia Kini

comments

Terkini

spot_img
spot_img