LISBON: Jenama CR7 milik Cristiano Ronaldo dianggarkan bernilai lebih 100 juta euro (RM477.8 juta) dan setanding dengan port (minuman wain Portugis) daripada segi kepentingan terhadap Portugal, menurut sekolah pemasaran. “Bersama-sama port, Cristiano Ronaldo adalah produk Portugal yang cukup terkenal di seluruh dunia,” kata Daniel Sa, Pengarah Institut Pentadbiran dan Pemasaran Portugal (IPAM) kepada AFP. Jenama fesyen CR7 Ronaldo dan pembabitan dalam perniagaan lain membawa keuntungan kepada negara berkenaan.
IPAM yang mengukur nilai ekonomi jenama Ronaldo sejak enam tahun lalu, menganggarkan ia bernilai 102 juta euro (RM482.5 juta) keseluruhan, walaupun sebahagian besarnya datang daripada profil media sosialnya.
“Apabila anda membandingkan Cristiano dengan bintang-bintang Portugal sebelumnya, seperti Luis Figo atau Rui Costa, faktor media sosial menjadi pemisah. Ia mewakili impak luar biasa dan kuasa pemasaran tanpa had,” kata Sa. Pemain terbaik dunia sebanyak empat kali, Ronaldo mempunyai 275 juta pengikut di media sosial, melebihi mana-mana ahli sukan lain, manakala 121 juta ‘likes’ pada akaun Facebooknya adalah rekod tertinggi yang meletakkannya di hadapan penyanyi Colombia, Shakira.
Walaupun Ronaldo berkata dia akan terus bermain untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi, pemain 32 tahun itu sudah mempersiapkan masa depannya di luar padang.
“Ramai pemain menamatkan karier tanpa mengetahui apa yang akan dilakukan. Bagi saya ia jelas sekali, saya mahu menguruskan jenama saya,” kata Ronaldo.
– AFP