AKSI Muhammad Farhan (kiri) ketika bertemu PKNP FC dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, April lalu. – Foto Abdullah Yusof ALOR SETAR: Pemain sayap muda Kedah, Muhammad Farhan Roslan, 20, atau ‘Messi Kedah’ yakin dia mampu pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut menjelang sambutan Aidilfitri nanti selepas terpaksa berehat selama tiga minggu.
Pemain berasal dari Tandop, Alor Setar ini kini giat menjalani latihan fisioterapi serta latihan ringan sepanjang cuti rehat sempena Ramadan bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.
“Bulan puasa ini menjadi ruang terbaik untuk saya kembali cergas. Jadual saya penuh dengan latihan yang seimbang termasuk fisioterapi dan latihan di gimnasium. “Kebiasaannya, saya mengambil masa 30 minit melakukan larian ringan di waktu malam untuk mengekalkan kecergasan dan tenaga. “Saya harap dapat kembali ke tahap prestasi terbaik.
Setakat ini, saya sudah menjaringkan lima gol dan jaringan itu sudah cukup untuk membangkitkan semangat untuk membantu pasukan,” katanya yang meledak empat gol sepanjang kempen Piala FA. Selain membantu Kedah menjulang Piala FA musim ini, dia juga turut menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super.
Jumlah jaringan itu meletakkannya sebagai penjaring keempat terbanyak skuad Helang Merah dengan Ken Ilso mendahului senarai selepas meledak 14 gol, diikuti Baddrol Bakhtiar (tujuh gol) dan Sandro Da Silva (enam gol). Skuad Kedah akan kembali mengadakan latihan pada 9 Jun ini dan dijadualkan berdepan Perak dalam saingan Liga Super pada 1 Julai nanti.
“Saya tidak sabar untuk kembali membantu pasukan di pusingan kedua liga,” katanya yang tidak dapat beraksi dalam final Piala FA menentang Pahang akibat kecederaan.
Farhan menghadapi kecederaan itu ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Terengganu di Kuala Terengganu pada 13 Mei lalu.