Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak pasti setakat mana seriusnya bapanya tentang memegang jawatan perdana menteri.
Apabila ditanya sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bergurau atau serius mengenai jawatan perdana menteri, Mukhriz berkata beliau tidak tahu.
“Saya tidak tahu,.. Anda beritahu saya. Melihat pada laporan media pada tajuk yang bercanggah, saya tidak tahu yang mana satu nak percaya.
“Sesetengah daripada anda berkata beliau telah kata tidak, sesetengah kata beliau kata mungkin, dan ada yang berkata (beliau kata) ya.
“Saya keliru dengan pemberita,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Mukhriz berkata beliau belum bertanya bapanya mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, katanya, BERSATU masih belum membuat keputusan mengenai calonnya untuk jawatan perdana menteri.
Dalam sesi langsung Facebook semalam, Dr Mahathir mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan cadangan menjadi perdana menteri sekali lagi – jika Pakatan Harapan (HARAPAN) merancang sedemikian.
“Saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan saya dalam HARAPAN. Kalau mereka mempunyai cadangan seperti itu dan dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbangkannya,” Dr Mahathir dilaporkan berkata.