PETALING JAYA: Dua wakil rakyat hari ini melabel Pelan Tindakan bagi kaum India (MIB) yang dilancarkan lebih kurang sebulan lepas “gagal”, kerana ia tidak menangani masalah yang dihadapi kaum India miskin tegar.
Pada sidang media hari ini, Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago dan Ahli Parlimen PKR Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar berkata pelan itu sebenarnya meminggirkan lagi golongan miskin.
“Laporan itu tidak memberi tumpuan kepada bagaimana untuk mengangkat sosioekonomi kumpulan B40 dan meningkatkan kekayaan mereka,” kata Santiago merujuk kepada 40% isi rumah terbawah yang berpendapatan bulanan RM3,900 dan ke bawah.
“Lebih buruk lagi, pelan tindakan itu hanya menawarkan peluang kepada kelas pertengahan dan elit kaum India,” katanya.
Santiago juga berkata pelan tindakan itu tidak menetapkan sasaran.
Pada April Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelan 10 tahun pembangunan kaum India untuk memperbaiki kehidupan kaum India.
Santiago juga tidak berpuas hati dengan Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), sebuah projek utama di bawah MIB yang dikatakan membantu lebih 20,000 usahawan mendapatkan pinjaman dari bank perdagangan.
Beliau berkata sukar bagi golongan miskin untuk memohon pinjaman disebabkan ia mengehendaki cagaran sebagai sebahagian daripada kriteria.
“Kebanyakan orang India tidak mempunyai cagaran. Bagaimana mereka boleh memohon pinjaman?” soal Santiago.
Sementara itu, Jayakumar mempersoalkan mengapa kerajaan perlukan 10 tahun untuk menyelesaikan isu kaum India tanpa kerakyatan.
“Jika pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan kita akan menyelesaikan perkara itu dalam tempoh 6 bulan,” katanya.
Ini bukan kali pertama MIB dikritik. Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) melabel pelan itu sebagai “helah April’s fool” sementara Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran berkata pelan tindakan itu tidak menyatakan butiran, peruntukan dana dan mekanisme pelaksanaan secara jelas.