spot_img
spot_img

Pembatalan Debat Nazri-Tun M: Polis Perak Nafi Dalangnya

Polis Perak menganggap tuduhan mengaitkan mereka dengan kegagalan debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Nazri Aziz adalah tuduhan liar.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata pasukan keselamatan itu bersifat berkecuali dan tidak terlibat dalam sebarang pertikaian politik, serta tidak menyebelahi sesiapa.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak adalah professional dan hanya mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Pada 22 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan, Nazri mendakwa polis mengarahkan beberapa pemimpin Umno Padang Rengas membuat laporan menjurus kepada pembatalan debat antara beliau dengan bekas ketuanya.

Debat antara Dr Mahathir dengan menteri pelancongan dan kebudayaan itu sepatutnya berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar pada 25 Mac lalu.

Bagaimanapun ia dibatalkan atas faktor keselamatan.

- Advertisement -

Nazri adalah anggota parlimen Padang Rengas dan pernah berkhidmat dalam kabinet Dr Mahathir suatu ketika dulu.

BUKAN UNTUK LUNAS AGENDA

Kini Dr Mahathir adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menjadi seorang daripada pengkritik paling tegar kerajaan.

Cubaan kedua Nazri berdebat dengan Dr Mahathir di Shah Alam pada 31 Mac juga dibatalkan atas nasihat polis.

Kata Nazri, ada lima laporan polis dibuat mengenai debat di Kuala Kangsar itu dan ia dalam format dan kenyataan yang serupa.

Daripada lima laporan itu, katanya, beliau mendapati ia dibuat seorang ketua cawangan Umno, pemimpin Pemuda Umno dan ketua kampung di kawasannya.

“Ketiga-tiga mereka, apabila saya tanya, kenapa buat begitu? Mereka kata: arahan polis,” katanya.

Tanpa menyebut mana-mana nama Hasnan juga mengingatkan pihak terbabit supaya tidak membabitkan PDRM dengan sebarang agenda politik.

“Saya menasihatkan semua pihak supaya tidak mengheret dan tidak membabitkan polis dalam apa-apa isu antara mana-mana parti politik untuk melunaskan agenda masing-masing,” katanya.

Malaysiakini

comments

Terkini

spot_img
spot_img