PETALING JAYA: Wanita PKR hari ini mengisytiharkan perang terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana kenyataannya mengenai pemakaian wanita untuk elak diganggu.
Ratusan ahli di Kongres Wanita PKR ke-12 di Dewan Sivik Petaling Jaya hari ini mengangkat plakad membantah kenyataan menteri Umno itu di dialog Tansformasi Nasional 2050 (TN50) berkenaan keselamatan kelmarin.
Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin berkata: “Apa jenis menteri berkata seperti itu,” katanya semasa menggulung ucapan di hari terakhir kongres wanita.
Semasa dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di ibu negara kelmarin, menteri Umno itu secara berseloroh menyarankan agar wanita berpakaian comot bagi mengelak diganggu di khalayak ramai.
Tengku Adnan berkata demikian ketika respon kepada pandangan seorang ahli Puteri Umno yang melahirkan rasa bimbang mengenai keselamatan, terutamanya 2 anak perempuannya memandangkan kes rompak, culik dan gangguan terhadap perempuan mutakhir ini, dan meminta kerajaan meningkatkan keselamatan.
Sementara itu, Zuraida menyeru wanita supaya tidak takut bersuara terhadap orang lelaki.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata tidak ramai wanita ke depan apabila berpolitik.
“Wanita sekarang turun padang, laksanakan keputusan dan bekerja. Mereka juga patut di peringkat dasar membuat keputusan,” katanya kepada 800 yang hadir mendengar ucapannya.
Seruan itu disambut tepukan gemuruh daripada para perwakilan.
Menurutnya lagi, ramai lelaki tidak suka seruan ini. Malah, ada yang mengatakan kerusi Parlimen Ampang perlu diberi kepada seorang lelaki.
“Cubalah. Kedudukan ini tidak diberi kepada orang dengan mudah. Jangan takut, jangan malu. Kamu boleh lakukannya,” katanya kepada ahli yang bersetuju dengannya.
Di sidang akhbar awal hari ini, Zuraida mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.
Beliau berkata proses penyerahan tanggungjawab itu kepada timbalannya, Haniza Talha, akan mengambil masa setahun bagi memastikan peralihan kerja yang lancar.
Beliau juga memuji kualiti debat para perwakilan mengenai keperluan untuk bergiat aktif dalam berpolitik dan memenangi hati rakyat.
“Mereka faham isu jantina. Dulu mereka bercakap mengenai isu janda. Hari ini mereka sedar mengenai isu.”
Mengenai peranan barunya, Haniza berkata pengumuman pagi tadi itu sesuatu yang berat untuk dipikul.
“Zuraida meletakkan standard yang tinggi. Saya tidak akan mampu melakukannya tanpa sokongan semua.”