Pelik betul, kadang-kadang orang berbadan kurus pun boleh ada perut yang buncit. Agaknya sebab apa ya?
Maklumlah, ramai antara kita orang perempuan ni impikan perut yang kempis. Biar badan gempal tak apa, asalkan perut maintain kempis. Barulah cantik pakai baju macam mana pun.
Lagi parah bila orang yang berbadan kurus ni sering saja disalah ertikan kerana disangka mengandung apabila memiliki perut buncit. Malunya!
Bukan main masing-masing mencari petua kempiskan perut. Semua pakat salin dan simpan untuk dijadikan rujukan namun, masih juga tidak berhasil.
Ada baiknya kita cari tahu tentang puncanya dahulu agar mudah untuk mengelak daripada perkarayang tidak sepatutnya. Jika asyik mengamalkan petua tapi tidak tahu apa puncanya, memang tak akan menjadilah pun.
Jom Wanista rungkaikan lima punca perut buncit mengikut fakta saintifik perubatan.
#1 Sindrom Usus Terganggu
Perut kadang-kadang kembung, kadang-kadang kempis sehingga menyebabkan kesakitan, sembelit dan cirit-birit?
Sebenarnya situasi ini normal dan berlaku ke atas semua orang. tak lain dantak bukan, ia berkait dengan fungsi dan keterjejasan sistem usus seseorang.
Apabila usus seseorang terjejas, ia secara tidak langsung akan mengembungkan perut. Perut akan menjadi sangat buncit terutamanya pada sebelah petang. Ini pastinya mengganggu keselesaan harian seseorang malah membuatkan penampilan seseorang nampak tidak cantik, lebih-lebih lagi ketika memakai baju yang mengikut bentuk tubuh kan?
Oleh itu, cuba elak makan makanan yang berasaskan serat bijian seperti roti bijian penuh (wholemeal), oats, muesli, biskut penghadaman, bar bijirin dan semua bijirin sarapan pagi seperti Coco Crunch mahupun Cornflakes! Biskut biasa, roti putih biasa dan kek adalah dibolehkan.
Elak makanan serat bijian tadi selama tiga bulan berturut-turut untuk bantu perut anda kempis kembali.
#2 Masalah Kembung Perut
Mungkin anda termakan gas terlalu banyak tanpa sedar sampaikan anda kentut melebihi 15 kali setiap hari. Harus jelas, manusia normal dan sihat akan kentut 14 kali sehari namun jika ia melebihi dari angka itu, pasti anda bermasalah.
Oleh itu, kurangkan makan makanan karbohidrat yang lambat dihadam seperti kekacang, brokoli, kobis, buah prun, epal, dan segala hidangan yang mengandungi gula tidak asli seperti sorbitol yang biasanya terdapat dalam minuman beralkohol seperti wine.
Selain lambat hadam, semua makanan itu tadi akan mengeluarkan gas sulfur apabila berada di dalam perut. Gas tersebut akan berjalan hingga ke dalam usus menjadikan perut kembung dan kelihatan buncit.
Jelas seorang pakar, seseorang harus makan dengan perlahan, kunyah sehabis mungkin makanan itu agar ia hancur, senang dihadam untuk disalurkan terus ke usus.
#3 Penyakit Seliak
Penyakit ini berkait dengan reaksi tubuh si mangsa terhadap sumber yang terkandung dalam barli, gandum dan rai (gandum hitam). Sila elak mengambil sebarang makanan yang bersumberkan elemen tadi seperti pasta, roti, pai dan beberapa jenis sos dan kuah perasa.
Kebiasaannya, masalah ini menyerang kanak-kanak namun dewasa yang berada pada umur pertengahan juga berisiko.
Jika anda mengalami simptom seperti cepat penat, hilang berat badan tanpa sebab dan sering sakit di bahagian abdomen, lekas berjumpa doktor. Sebaik anda disahkan menghidap penyakit seliak ini, ada baiknya anda berhenti makan segala makanan yang mengandungi gluten.
Untuk keterangan lanjut berkenaan Penyakit Seliak atau Coeliac Disease ini, sila klik [www.coeliac.org.uk.]
#4 Kembung Perut Berkala
Kembung perut berkala boleh terjadi ketika datang bulan atau saat berada pada tahap awal kehamilan. Ia berpunca daripada hormon progesteron yang sedang aktif dan meningkat dalam tubuh.
Apa yang tidak seronok tentang ini, mood akan bertukar dari seronok menjadi murung, berasa tidak selesa, tertekan malah menggangu pergerakan harian kerana berasa senak. Lebih parah, ia juga boleh menyebabkan sebelit untuk sesetengah orang tahu?
Walau bagaimanapun, senaman seperti berjalan selama 30 minit sehari boleh bantu menghilangkan kembung perut tersebut.
Jangan lupa, minum banyak air putih, makan buah dan sayur-sayuran untuk halang sembelit.
#5 Kanser Ovari
Sukar sebenarnya untuk mengesan simptom kanser ovari tetapi keadaan perut yang buncit boleh menjadi tali pengukurnya. Selain perut buncit, penghidap juga akan sentiasa berasa senak dan sakit di bahagian abdomen.
Kata pakar ovari, “Antara simptom utama untuk mengenal pasti kemunculan kanser ovari adalah dengan melihat perubahan pada saiz abdomen (perut) serta menghidap kembung perut. Selain itu, mangsa juga mungkin dapat merasai kesakitan di bahagian abdomen, tidak selera makan dan kesukaran membuang air kecil.
Simptom ini tidak semestinya tepat, namun seseorang harus peka akan perubahan yang berlaku pada diri.