spot_imgspot_img

Kenyataan Mengenai Malaysia Dan OBOR

PPBM meneliti dengan penuh perhatian hasil nukilan Perdana Menteri berkenaan negara China yang diterbitkan di dalam akhbar South China Morning Post baru baru ini. Sememangnya nyata bahawa sehingga kini, pucuk pimpinan negara gagal memahami implikasi sepenuhnya akibat dari strategi yang mereka kejar ini, mahupun kegusaran kami berkenaan kemakmuran negara dan seterusnya rakyat.

Sebelum saya ulas dengan lebih lanjut, saya ingin menekankan lagi pendirian kamu berkenaan pelaburan dari negara China.

Kami tidak menentang pelaburan asing secara langsung dari sesiapa. Sebaliknya kami mengalu-alukan ia sebagaimana kami selama ini mengalu-alukan pihak Jepun, Amerika, Korea, Britain dan pelbagai lagi negara pelabur termasuk negara China.

Semua pelaburan ini sememangnya selama ini tertakluk kepada terma yang berhemah – pembiayaan, pengurusan dan kawalan projek secara usahasama, perpindahan teknologi, penggunaan sumber tempatan dengan dipandu pakar asing, dan akhirnya pemilikan tempatan ke atas perusahaan tersebut. Kecualilah ada antara negara pelabur ini merupakan negara dunia ketiga, usahasama kita bersama mereka juga merupakan pembangunan bertaraf dunia.

Namun begitu, dalam hal pelaburan negara China, kami dapati terma-terma ini ditukar dengan mendadak. Seperti yang telah saya katakan sebelum ni, terma-terma pelaburan ini membawa akibat seperti berikut:

1. Ianya menyerahkan sepenuhnya pengurusan dan kawalan projek kepada pihak China, dan ini termasuk keputusan berkenaan teknologi proprietari negara China, termasuk keputusan berkenaan penyumberan dan perolehan. Ternyata dari pelaburan negara China di negara lain, juga dari terma bagi projek Jalinan Rel Pantai Timur (ECRL), pendekatan pihak China akan mengutamakan penggunaan sumber manusia dan bahan dari negara China bagi tujuan pembinaan dan pembangunan. Ini ternyata lari jauh dari pendekatan yang digunakan bagi projek- projek pembangunan nasional terdahulu yang mengutamakan sumber- sumber tempatan.

2. Selain pembangunan ECRL dan Forest City, kerajaan gagal mentakrifkan bagaimana mereka bercadang untuk merangsangkan ekonomi dan merangsangkan kesejahteraan rakyat melalui projek-projek tersebut. Sebagai contoh, kita lihat saja Forest City. Sudah berkali-kali kami suarakan bahawa pembangunan ini menyasarkan demografi tempatan yang salah. Projek ini disasarkan kepada pembeli asing yang akan diberi status pemastautin tetap, sementara rakyat tempatan hanya menjadi pekerja yang menyaji kepada warga asing tersebut. Suatu peningkatan mendadak dalam bilangan pemastautin tetap warga asing yang berpendapatan tinggi tidak akan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dengan ketara. Ini kerana akibat dari peningkatan mendadak ini, pendapatan rakyat tidak setimpal dngan kenaikan kos sara hidup. Dalam cara yang sama, membuka penempatan baru bagi perumahan kos rendah tanpa peluang ekonomi takkan dapat merangsang ekonomi.

3. Peluang dan terma pasca projek tidak ditetapkan dan jika ada, adalah kabur. Daripada apa yang kita lihat setakat ini, tiada peruntukan bagi perindahan teknologi. Ini bermaksud, kos terselindung bagi pelaburan negara China tertakluk kepada penyenggaraan dan penaiktarafan bagi kemudahan taraf dunia ini. Di dalam suasana biasa dunia korporat, kajian feasibiliti projek akan mengambilkira kos-kos tersebut bagi jangka hayat aset yang akan dibangunkan tersebut. Tetapi dengan pendekatan yang diambil bagi pelaburan negara China, kos diambilkira hanya untuk pembangunan asal. Ketentuan di masa depan dianggap tidak penting dan tidak mungkin berlaku, maka tidak akan ada kos pasca projek yang akan diperlukan, walau untuk penyelenggaraan.

Melambakkan keseluruhan projek-projek pembangunan nasional ke tangan negara China merupakan suatu langkah yang kurang wajar. Sekali lagi, prinsip asas pengurusan risiko mementingkan kepelbagaian portfolio. Semestinya Malaysia tidak kekurangan pihak yang berminat melabur bagi berkongsi risiko pembangunan strategik negara. Tetapi entah bagaimana kita tetap memilih untuk mengutamakan pelaburan negara China di dalam profail risiko pelabur kita.

Kenapa?

Adakah inisiatif “One Belt, One Road” tersangat menarik sehingga kita sanggup mengenepikan bukan saja pertimbangan ekonomi dan kewangan yang sewajarnya, tetapi juga pertimbangan sosial dan keselamatan? Saya tak rasa PM cuba menyampaikan kepada dunia bahawa hanya dengan menerima pelaburan dari negara China boleh kita membangunkan infrstruktur bertaraf dunia,

Setakat ini, saya tidak menyentuh hal-hal berkenaan sosial dan keselamatan. Dengan membenarkan sesuatu pihak akses yang tak terhingga, melanggar prinsip-prinsip keselamatan di samping menjejaskan keselamatan dan juga ikatan hubungan luar negara kita. Mungkin patut kita ingat semula bahawa negara China berideologikan komunisma dan walau terdapat kelas mewah, mereka ini merupakan mereka yang tertakluk kepada kerajaan pusat.

Saya tak bermaksud prejudis, semestinya  Malaysia sentiasa meletakkan dirinya pada tahap bebas dan neutral.

Namun ideologi sangat sensitif terhadap perubahan, dan suatu perubahan kecil mungkin menterbalikkan imbangan ideologi di Asia Tenggara kepada suatu ideologi yang tidak mendokong prinsip- prinsip Zon Keamanan, Kebebasan dan Nuetral (ZOPFAN). Malaysia dari awalnya bersuara lantang menyokong perjanjian sosial ini, bagi mengimbangi ideologi Asia Tenggara. Tetapi dengan meletakkan negara China sebagai pelabur terbesar, Malaysia akan terhutang budi dan tertakluk kepada kehendak negara China.

Di sini saya menyeru rakyat Malaysia, fikirkan apakah ideologi negara Malaysia tercinta ini?

Oleh itu, jawapan saya tidak. Pihak pembangkang bukan meminta supaya jangan dibina kemudahan bertaraf dunia. Kami lebih suka jika terdapat penyelenggaraan bertaraf dunia bagi kemudahan bertaraf dunia yang sedia ada, sebelum kita membina lebih banyak kemudahan bertaraf dunia yang baru. Kami lebih suka jika kita perolehi pelaburan dan teknologi bertaraf dunia daripada mereka yang ikhlas menjadikan kita rakyat bertaraf dunia di dalam negara bertaraf dunia. Muktamadnya, kami inginkan ini semua tanpa menjejaskan maruah kita agar kita dihormati sebagai masyarakat bertaraf dunia.

Susah sangat ke?

Tariq Ismail
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

comments

Terkini

spot_img
spot_img